Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 April - Harga minyak sawit mentah (MSM) bagi bulan April 2021 diunjur pada paras harga RM3,500 hingga RM4,000 setiap tan.
CGS-CIMB Research berkata, unjuran tersebut diletakkan selepas menilai kepada tahap inventori yang rendah di Malaysia yang memerlukan sedikit masa untuk kembali pulih.
"Kami menjangkakan bekalan minyak sawit akan pulih pada 2021 apabila keadaan cuaca kembali baik.
"Kami mengekalkan ramalan harga purata MSM sebanyak RM2,900 dan RM2,700 setiap tan bagi tahun 2021 dan 2022 di samping mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor ini," jelas CGS-CIMB Research.
Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research memberitahu, eksport minyak sawit berkemungkinan meningkat 25% bulan ke bulan berdasarkan kepada statistik eksport Intertek Testing Services (ITS) (+26.8%) dan Amspec Malaysia (+22.6%).
Dalam pada itu, inventori minyak sawit negara juga dijangka meningkat 0.9% bulan ke bulan, namun susut 24% tahun ke tahun kepada 1.31 juta tan pada akhir Mac 2021.
Ia selaras dengan sejarah industri di mana stok minyak sawit mengalami penurunan pada kadar purata 1% bulan ke bulan dalam tempoh 10 tahun terakhir.
"Tinjauan kami menunjukkan bahawa ladang di Sabah mencatatkan pengeluaran bulanan yang paling tinggi.
"Anggaran keluaran pada Mac adalah sebanyak 1.33 juta tan iaitu lebih rendah daripada purata 10 tahun terakhir iaitu 1.43 juta tan.
"Kami berpendapat pengeluaran yang lebih rendah berbanding jumlah sebelumnya adalah disebabkan oleh kekurangan pekerja asing serta faktor musim," tambah CGS-CIMB Research.
Laporan mendedahkan pembekuan pengambilan pekerja asing akibat pandemik COVID-19 menyebabkan kekurangan tenaga kerja berlipat kali ganda kepada 70,000 berbanding hanya 36,000 pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menganggarkan kerugian purata pengeluaran bagi ladang-ladang di Malaysia adalah kira-kira 20% akibat kekurangan tenaga kerja semasa. - DagangNews.com