PADANG TERAP 13 Mac - Harga minyak sawit dijangka mampu mencecah paras tertinggi RM9,000 satu tan metrik pada Mei atau Jun depan, berdasarkan kedudukan bahan komoditi itu yang terus meningkat ketika ini.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata kenaikan harga minyak sawit ini akan memberi banyak faedah kepada kerajaan dan pekebun kecil tempatan hasil peningkatan pendapatan yang lebih tinggi.
Menurut beliau, berdasarkan analisis dibuat syarikat yang tersenarai di bursa, harga minyak sawit boleh mencecah sehingga RM9,000 satu tan metrik menjelang Jun depan, malah trend kenaikan itu boleh dilihat terus berlaku masa kini.
"Trend kenaikan ini dijangka berlarutan sehingga suku ketiga tahun ini atau sehingga hujung tahun bergantung keadaan semasa," ujarnya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pusat Pemprosesan Getah Krip di sini hari ini.
Pada 1 Mac lalu, harga minyak sawit melepasi RM8,000 satu tan metrik, menjadikannya minyak sayuran paling mahal susulan konflik Rusia-Ukraine yang menjejaskan eksport minyak bunga matahari.
Walaubagaimanapun, Zuraida turut menyatakan kebimbangan bahawa kenaikan harga minyak sawit itu nanti akan menyebabkan harga barangan berkaitan sawit turut naik.
"Kita ada kebimbangan apabila harga minyak sawit terus meningkat, ia akan memberi kesan kepada rantaian bekalan dan barangan berkaitan sawit yang mungkin turut akan naik.
"Namun, perlu dijelaskan bahawa 20% daripada keuntungan jualan minyak sawit negara disalurkan kembali kepada rakyat dalam bentuk pelbagai subsidi,"
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya dalam proses memulihkan kira-kira 400,000 hektar kawasan tanaman getah yang didapati tidak diurus secara baik di seluruh negara.
"Kita akan menggerakkan koperasi tempatan bagi mengesan kira-kira 150,000 pekebun kecil yang tidak aktif ini dan mereka akan diberi pilihan untuk terus menguruskan kebun sendiri atau diserahkannya kepada koperasi untuk diusahakan.
"Jika semua kawasan tanaman ini dapat diusahakan secara sistematik, ia mampu mengeluarkan hasil kira-kira RM30 bilion kepada negara," katanya. - DagangNews.com