Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Nov. - Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjur lebih tinggi selepas inventori minyak sawit jatuh ke paras terendah dalam tempoh 3 tahun.
Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng berkata, harga MSM dijangka berlegar antara RM2,600 hingga RM3,200 pada November dengan unjuran 2020 dinaikkan kepada RM2,620 berbanding sebelum ini, RM2,500 satu tan metrik.
Ini didorong oleh peningkatan harga MSM yang lebih tinggi berbanding jangkaan dalam tempoh beberapa bulan sebelum ini.
Setakat akhir Oktober 2020, paras inventori minyak sawit berada pada paras 1.57 juta tong, iaitu 1% di bawah jangkaan ekoran pengeluaran yang rendah di luar jangkaan.
"Bagaimanapun, stok yang rendah akan menyokong harga MSM walaupun kami berpendapat ia mungkin akan turun pada Oktober.
"Namun, kami menganggarkan, stok ini akan meningkat 2% bulan ke bulan kepada 1.62 juta tong pada akhir November dengan pengeluaran dan eksport masing-masing menurun 5% dan 15% bulan ke bulan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Eksport dijangka perlahan memandangkan permintaan semakin merosot selepas sambutan Deepavali dan juga kenaikan mendadak harga MSM.
Sementara itu, penganalisis Maybank Kim Eng, Ong Chee Ting berkata, stok rendah di Malaysia dan pengeluaran Indonesia yang lemah pada suku ketiga tahun ini telah mendorong kenaikan harga MSM kepada lebih RM3,000 satu tan metrik.
"Walaupun harga MSM kekal berdaya tahan dalam tempoh sederhana, kami juga bimbang mengenai kelestarian dalam penggunaan minyak sawit dan gas yang lebih luas dan prospek pengeluaran yang pulih pada 2021," katanya.
Beliau menaikkan unjuran purata jualan MSM pada 2020 kepada RM2,660 satu tan metrik berbanding RM2,400 sebelum ini dan pada 2021 pula, ia diunjur pada RM2,500 berbanding RM2,400 satu tan metrik. - DagangNews.com