Harga minyak sawit diunjur merosot antara RM3,800 dan RM4,000 setiap tan pada April 2024 – MPOC | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit diunjur merosot antara RM3,800 dan RM4,000 setiap tan pada April 2024 – MPOC

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Mac - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) menurun antara RM3,800 dan RM4,000 setiap tan pada April, berbanding harga terkini RM4,250 berikutan peningkatan bekalan kacang soya dari Selatan Amerika dan peningkatan beransur-ansur dalam pengeluaran minyak sawit di Malaysia.

 

"Harga minyak sawit didagangkan pada premium AS$40 hingga AS$95 setiap tan mendahului minyak lembut pada Mac. Oleh itu, pemulihan harga minyak lembut dijangka berlaku pada April untuk mengecilkan jurang harga," kata MPOC dalam satu kenyataan hari ini.

 

Harga MSM melonjak ke paras tertinggi 12 bulan pada 15 Mac, meningkat hampir 10% di atas harga penutup Februari. MPOC mengaitkan trend harga yang kukuh pada suku pertama 2024 ini kepada dinamik pertumbuhan bekalan defisit.

 

Pada Februari 2024, stok minyak sawit Malaysia terus dalam trend menurun, jatuh 5% kepada 1.92 juta tan, menandakan paras terendah sejak Julai 2023, didorong oleh pengurangan import dan penggunaan domestik yang teguh.

 

MPOC melaporkan penurunan mendadak 70% tahun ke tahun dalam import minyak sawit Malaysia dalam dua bulan pertama 2024, menjunam kepada 62,000 tan, yang hanya menyumbang 6.9% daripada jumlah import pada 2023.

 

“Dari segi sejarah, inventori minyak sawit Malaysia sangat bergantung pada import untuk pengumpulan, justeru pemantauan rapi ke atas pertumbuhan import akan datang dianggap penting untuk mengukur paras stok minyak sawit di Malaysia,” tambahnya.

 

Ia turut menyatakan bahawa penggunaan domestik yang kukuh turut menyumbang kepada penurunan dalam stok, dengan Januari dan Februari 2024 menyaksikan pertumbuhan 11.3% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

 

“Stok minyak sawit Malaysia tidak dijangka akan melihat sebarang pertumbuhan pada Mac kerana penggunaan domestik kukuh, terutamanya pada bulan Ramadan. Selain itu, pengeluaran dijangka tidak meningkat sehingga April dan seterusnya,” ulasnya.

 

Memandangkan musim pengeluaran minyak sawit rendah berakhir pada Mac, MPOC berpendapat bahawa harga minyak sawit mungkin mula mencerminkan pemulihan dalam tahap pengeluaran dan inventori pada April dan Mei, yang berpotensi mengehadkan harga minyak sawit.

 

Pengumuman terbaharu Persatuan Minyak Sawit Indonesia berhubung inventori minyak sawit Indonesia sebanyak 3.14 juta tan setakat Disember 2023 menunjukkan bekalan minyak sawit yang terhad, katanya.

 

MPOC meramalkan gabungan stok minyak sawit Malaysia dan Indonesia akan kurang daripada 5 juta tan pada Februari 2024.

 

Pada 2024, pengeluaran minyak sawit global dijangka meningkat secara minimum sebanyak 0.11%, manakala pertumbuhan pengeluaran minyak lembut iaitu minyak kacang soya, minyak biji sesawi dan minyak bunga matahari diunjurkan meningkat masing-masing sebanyak 2.88%, 3.48% dan 3.94%. - DagangNews.com