Harga minyak sawit mentah 2H24 dijangka rendah, Maybank IB kekalkan unjuran RM3,700 setan 2024 | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah 2H24 dijangka rendah, Maybank IB kekalkan unjuran RM3,700 setan 2024

Pengeluaran sawit dan bijian yang lebih baik pada 2H24 dijangka mendorong harga CPO yang lebih lemah. -Gambar hiasan FGV
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan saranan ‘Neutral’ terhadap sektor perladangan dengan unjuran purata harga jualan minyak sawit mentah (CPO) bagi 2024 pada RM3,700 setiap tan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kecuali ada kejutan cuaca terutamanya di hemisfera Utara, harga CPO pada separuh kedua tahun 2024 (2H24) kemungkinan akan melemah disebabkan oleh peningkatan bekalan minyak kelapa sawit serta biji-bijian susulan faktor musim pengeluaran.


 
"Penimbunan stok minyak kelapa sawit kemungkinan akan berterusan sehingga Oktober/November 2024, seiring dengan kemuncak kitaran musim pengeluaran. 

 

"Kami mengekalkan pandangan 'Neutral' terhadap sektor ini. Pembelian kami termasuk SD Guthrie, Sarawak Oil Palm, Ta Ann Holding dan Bumitama Agri," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Harga minyak sawit mentah dijangka diniagakan antara RM3,800 dan RM4,200 setan pada 2H2024 - MPOC

 

Maybank IB berkata, tanaman kacang soya kini memasuki jangka waktu yang penting bagi cuaca iaitu bulan Julai dan Ogos dengan cuaca yang normal, hasil kacang soya di hemisfera Utara mungkin banyak pada 2H24. 

 

Kata firma itu, hasil yang baik dalam 2H24 mungkin menambah tekanan kepada harga CPO kerana ia berlaku pada jangka waktu yang sama kemuncak musim pengeluaran buah sawit.

 

"Sebaliknya, jika cuaca berubah menjadi tidak baik tanpa diduga di hemisfera Utara, ia akan membantu mengekalkan Harga minyak bijian dan mengehadkan penurunan harga CPO," jelasnya.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, peningkatan dalam eksport CPO Malaysia awal bulan ini walau bagaimanapun secara amnya selaras dengan aliran masa lalu.

 

Katanya, ia mencerminkan pemulihan pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi secara bermusim pada bulan-bulan mendatang.

 

"Kami terus menjangkakan pengumpulan stok yang lebih bermakna terutamanya semasa puncak pengeluaran bulan Ogos hingga Oktober," ujarnya. - DagangNews.com