Harga minyak sawit mentah Mei tertinggi setakat tahun ini | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah Mei tertinggi setakat tahun ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Purata harga minyak sawit mentah (MSM) bagi Mei 2021 dijangka mencatatkan prestasi tertinggi dari segi perbandingan bulan ke bulan (m-o-m), setakat tahun 2021. 

 

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh.CGS-CIMB Futures, purata harga MSM bagi tempoh berkenaan meningkat 8% berbanding April 2021 dan lonjakan 120% berbanding Mei tahun lalu kepada RM4,572 setiap tan. 

 

CGS-CIMB Research melihat prestasi berkenaan dipacu oleh peningkatan harga mendadak dalam minyak yang boleh dimakan lain. 

 

“Kami mengunjurkan harga MSM akan kekal kukuh pada kadar RM3,500 hingga RM4,200 setiap tan bagi Jun 2021, ketika inventori minyak boleh dimakan global rendah di mana akan mengambil masa untuk pulih semula. 

 

“Kami masih menjangkakan bekalan MSM akan pulih pada tempoh beberapa bulan akan datang, tetapi pada kadar yang lebih perlahan kerana kekurangan tenaga buruh,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian. 

 

CGS-CIMB memberikan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor berkenaan dan menyarankan untuk ‘tambah’ saham Genting Plantations Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad dan Ta Ann Holdings Berhad. 

 

Hasil kaji selidik itu juga mendapati bahawa output MSM Malaysia berada pada kadar 1.58 tan bagi Mei 2021, iaitu lonjakan 3.4% berbanding bulan sebelumnya, namun menyusut 5% tahun ke tahun (y-o-y). 

 

Dari segi eksport minyak sawit pula, CGS-CIMB menjangkakan kadarnya mungkin meningkat 0.6% m-o-m berdasarkan statistik oleh penyelidik kargo iaitu Intertek Testing Services, SGS, dan Amspec Malaysia.

 

Kata firma penyelidikan itu lagi, jangkaan peningkatan output MSM itu adalah sejajar dengan trend-trend sebelum ini, iaitu peningkatan 5% m-o-m untuk bulan Mei sepanjang tempoh 10 tahun lalu. 

 

“Kaji selidik kami mendedahkan estet Sabah mencatatkan lonjakan pengeluaran m-o-m yang paling kukuh pada Mei. 

 

“Namun, kebimbangan utamanya adalah trend penyusutan output y-o-y, di mana berkemungkinan disebabkan oleh kekurangan pekerja asing diikuti pembekuan pengambilan pekerja asing sejak Mac 2020 ekoran pandemik COVID-19. 

 

Baca : Isu kekurangan buruh ladang kelapa sawit semakin teruk - CGS CIMB

 

“Di samping itu, pokok-pokok yang semakin tua susulan penanaman semula yang perlahan, kadar penanaman baharu lebih perlahan dan input baja yang lebih rendah mungkin juga menyumbang kepada bekalan yang lebih lemah,” tambah firma penyelidikan itu lagi.

 

Permintaan yang lebih kukuh dari China dilihat memacu pertumbuhan eksport minyak sawit pada bulan lalu, sekali gus mengimbangi permintaan yang lebih lemah dari India. 

 

CGS-CIMB percaya minyak sawit menerima permintaan yang baik kerana harga lebih murah berbanding minyak kacang soya. - DagangNews.com