Harga MSM tinggi ‘lubuk keuntungan’ Q4 Genting Plantations | DagangNews Skip to main content

Harga MSM tinggi ‘lubuk keuntungan’ Q4 Genting Plantations

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Genting Plantations Berhad dijangka terus menerima manfaat tinggi daripada harga minyak sawit mentah (MSM) yang kian meningkat melebihi paras purata sepanjang sembilan bulan 2020 (9M20). 

 

Mengambil kira prestasi harga MSM ketika ini, CGS-CIMB Research dan MIDF Research meramalkan keuntungan suku keempat 2020 (4Q20) Genting Plantation bakal melonjak. 

 

“Kumpulan syarikat itu menjangkakan pengeluaran sawit daripada estet di Indonesia melonjak pada 4Q20. 

 

“Kami meramalkan gabungan pengeluaran sawit lebih tinggi dan harga bakal melonjak perolehan Q4,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya hari ini. 

 

CGS-CIMB menyarankan untuk ‘tambah’ saham Genting Plantation dengan sasaran harga (TP) dinaikkan kepada RM10.90.

 

Setakat ini, harga MSM mencecah paras RM3,451 bagi setiap tan metrik.

 

Walaupun Genting Plantation mendedahkan pengeluaran buah tandan segar sawit (FFB) menurun 1% pada 3Q20 berbanding tempoh sama tahun lalu, namun kumpulan itu yakin kadar berkenaan dijangka melonjak pada suku ini. 

 

Sehubungan itu, CGS-CIMB menjangkakan kumpulan syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih sehingga RM239.0 juta pada penghujung tahun ini. 

 

Senada CGS-CIMB, MIDF menjangkakan pemulihan kadar hasil FFB yang beransur-ansur mungkin mengatasi purata industri lain. 

 

Ramalan itu dibuat berdasarkan profil usia tanaman yang bertambah baik di estet Indonesia di mana kadar hasil FFB akan meningkat apabila pokok-pokok mencapai tahap matang. 

 

“Semua ini dijangka menyokong perolehan kumpulan syarikat pada suku-suku tahunan akan datang.

 

“Walaupun penularan COVID-19 dan minyak sawit minyak gas (POGO) lemah yang berterusan mungkin menjejaskan permintaan ketika ini, kami percaya kumpulan tersebut masih dapat memanfaatkan harga MSM yang menguntungkan, pertumbuhan FFB yang berdaya tahan serta mandat biodiesel yang lebih tinggi dalam mendorong momentum pendapatan di segmen perkebunan terasnya,” kata MIDF dalam nota kajian berbeza. 

 

Dalam pada itu, MIDF turut menjangkakan segmen hartanah kumpulan syarikat akan berterusan mencatatkan prestasi meningkat didorong penantian operasi semula aktiviti ekonomi. 

 

Mengambil kira semua faktor, MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ saham Genting Plantation dengan TP mencatatkan nilai RM12.40. - DagangNews.com