Harga petrokimia dijangka susut bermula April 2021 | DagangNews Skip to main content

Harga petrokimia dijangka susut bermula April 2021

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Harga jualan petrokimia terus menunjukkan prestasi positif pada suku pertama 2021 (1Q21) didorong oleh harga suapan nafta yang lebih tinggi. 

 

Namun, harga petrokimia diunjurkan lemah secara perlahan-lahan bermula suku kedua 2021 (2Q21) dan seterusnya susulan gangguan bekalan akibat musim sejuk akan selesai dan kapasiti baharu yang besar dijalankan.

 

Ramalan itu mendorong penarafan ‘underweight’ oleh CGS-CIMB Research ke atas sektor itu. 

 

“Risiko kenaikan termasuk kemungkinan operasi kapasiti baharu tertangguh dan permintaan petrokimia melonjak lebih baik daripada jangkaan kerana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global yang memberangsangkan,” ujar firma penyelidik itu dalam nota kajiannya.

 

Untuk rekod, permintaan petrokimia melonjak susulan permintaan yang tinggi bagi barang perkilangan pada 2H20, menampung penurunan pemintaan pada 2Q20 serta bekalan perlindungan dan perubatan COVID-19. 

 

Tambah CGS-CIMB, permintaan yang kukuh berlanjutan sehingga 1Q21 dan mungkin disokong oleh permintaan barang tahan lama dan kenderaan ketika pengedaran vaksin semakin berkembang.

 

Walaupun harga petrokimia yang melonjak pada 2H20 telah memberi manfaat kepada Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) dan Lotte Chemical Titan Holding Berhad (LCT), namun prospek pendapatan kedua-dua syarikat itu akan berbeza pada 1Q21. 

 

Jelas firma penyelidik itu, PCG menerima manfaat daripada harga jualan yang lebih tinggi tanpa dibebani oleh kos nafta yang juga tinggi memandangkan syarikat itu membeli stok suapan etana pada harga tetap. 

 

Sementara itu, kos stok suapan metana bergerak seiring harga jualan metanol dan urea.

 

“Namun, penyebaran harga petrokimia berbanding nafta meruncing pada 1Q21 berbanding 4Q20, dan ini dijangka menjejaskan keuntungan bersih LCT bermula 2Q21.

 

“Trend terkini membayangkan harga saham LCT berdepan risiko merosot, tetapi kami perlu menunggu lebih lama untuk membuat saranan ‘kurangkan’ kepada saham PCG,” tambah CGS-CIMB. 

 

CGS-CIMB meletakkan saranan ‘kurangkan’ bagi kedua-dua saham PCG dan LCT dengan harga sasaran (TP) masing-masing pada nilai Rm6.95 dan RM2.26. - DagangNews.com