Harga resin dijangka terus mengukuh, beri prospek cerah kepada BP Plastics | DagangNews Skip to main content

Harga resin dijangka terus mengukuh, beri prospek cerah kepada BP Plastics

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Nov - Harga resin dijangka kekal kukuh sehingga akhir tahun ini disebabkan gangguan rantaian global yang menyaksikan peningkatan ketara antara 20% hingga 27% sejak Julai.

 

Kenanga Research berkata, pihaknya turut menjangkakan kitaran pertumbuhan bagi BP Plastics Holding Bhd (BPPLAS) akan berterusan selepas syarikat itu merekodkan hasil sebanyak RM34.5 juta bagi suku ketiganya yang membentuk 76% daripada anggaran tahun kewangan yang dibuat firma penganalisis tersebut.

 

Katanya, walaupun berdepan sekatan kapasiti tenaga kerja sebanyak 60%, BPPLAS merekodkan volum jualan yang lebih tinggi. 

 

"BPPLAS terus menaikkan harganya, seiring dengan kenaikan harga resin.

 

"Kami mendapati daripada pihak pengurusan bahawa BPPLAS dapat meningkatkan harga jualannya seiring dengan lonjakan harga resin melalui mekanisme penambahan kos. 

 

"Apabila ekonomi beransur-ansur pulih, kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan yang berurutan, dinaikkan oleh pengeluaran yang lebih tinggi yang ditunjukkan oleh kadar penggunaannya yang tinggi sebanyak 70-75%, purata harga jualan (ASP) yang tinggi di tengah-tengah turun naik kos resin, dan sumbangan yang lebih tinggi kepada segmen filem regangan premium," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambahnya, untuk terus mengembangkan kapasitinya, BPPLAS telah membeli mesin regangan filem  ke-10nya yang dianggarkan akan mula dikomersialkan pada separuh kedua tahun kewangan 2022.

 

"Kami meningkatkan anggaran hasil FY21E sebanyak 8% dengan mengambil kira permintaan yang teguh dan ASP yang lebih tinggi. 

 

"Kami juga menaikkan unjuran hasil tahun kewangan 2022 sebanyak 9%/ kepada RM486.8 juta berikutan campuran produk margin yang lebih tinggi dan pengembangan kapasiti," katanya.

 

Firma penganalisis itu mengekalkan panggilan 'Outperform' dengan harga sasaran saham yang lebih tinggi iaitu pada RM3.34.  -DagangNews.com