Harga saham MAHB ‘kalis’ COVID-19, kata TA Securities | DagangNews Skip to main content

Harga saham MAHB ‘kalis’ COVID-19, kata TA Securities

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Harga saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dilihat ‘kalis’ daripada situasi COVID-19 semasa yang mencabar dengan sempadan negara masih ditutup sehingga menjejaskan operasi industri penerbangan.

 

Menurut penganalisis di TA Securities, Tan Kam Meng, harga saham MAHB kekal kukuh walaupun berdepan faktor-faktor negatif dan dijangka terus disokong oleh program vaksinasi di Malaysia. 

 

“Di sebalik data yang lemah dan prospek jangka masa terdekat yang mencabar, di mana terhimpit oleh kadar jangkitan COVID-19 yang tinggi dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami melihat harga saham MAHB terus bertahan daripada faktor negatif ini dan akan terus menemui sokongan daripada perkembangan baik program vaksinasi di Malaysia,” jelas Kam Meng dalam satu nota kajian bertarikh 19 Julai 2021.

 

Berdasarkan data yang disediakan TA Securities, harga saham MAHB dilihat agak stabil ketika Malaysia menguatkuasakan semula PKP 3.0.

 

MAHB
DATA ini menunjukkan harga saham MAHB agak stabil walaupun Malaysia melaksanakan semula PKP 3.0. - Sumber nota kajian TA Securities

 

Pada Jun 2021, lapangan terbang di bawah pengendalian MAHB menyaksikan lonjakan 153.2% dari segi pergerakan penumpang kepada 2.4 juta berbanding bulan sama pada tahun lalu. 

 

Menurut MAHB, pergerakan penumpang di lapangan terbang antarabangsa dan domestik kumpulan, masing-masing mencatatkan jumlah 0.7 juta dan 1.7 juta penumpang.

 

Berdasarkan kadar vaksinasi ketika ini dan sekiranya berterusan, Kam Meng percaya Malaysia akan memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam masa terdekat ekoran program ini dijangka membawa turun kadar jangkitan di bawah 4,000 sehari.

 

“Ini akan menjadi pertanda baik bagi Malaysia untuk membuka semula ekonominya pada Fasa 4, yang dianggarkan pada bulan November atau Disember tahun ini, apabila jangkitan harian jatuh di bawah 500. 

 

“Perhatikan bahawa pada 14 Julai, kadar pendaftaran vaksin telah meningkat kepada 69.9% dan 8.4 juta individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19,” ujar beliau lanjut.

 

Setakat 10 pagi, harga saham MAHB menyusut 1 sen atau 0.17% kepada RM5.78. 


Kumpulan menyaksikan permodalan pasaran bernilai RM9.59 bilion dengan jumlah saham 1.659 bilion. - DagangNews.com