Harga saham semasa SCIB tidak cerminkan pertumbuhan sebenar - BIMB | DagangNews Skip to main content

Harga saham semasa SCIB tidak cerminkan pertumbuhan sebenar - BIMB

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Harga saham yang dicatatkan Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) ketika ini tidak mencerminkan perniagaan baharu dan lonjakan semula perolehan syarikat serta pertumbuhan pesat nilai projek yang diraihnya pada tahun kewangan yang lalu. 

 

Di sebalik prestasi memberangsangkan itu, firma penyelidikan, BIMB Securities Research tidak dapat melihat sebarang alasan yang mendorong kepada penjualan besar-besaran saham SCIB.

 

BIMB Securities menjangkakan pembukaan semula ekonomi akan menjadi pemangkin kepada pergerakan harga saham syarikat yang mungkin berlaku dalam masa terdekat ini kerana momentum vaksinasi COVID-19 di Malaysia semakin meningkat.

 

Firma penyelidikan itu meletakkan nilai wajaran ke atas saham SCIB pada kadar 90 sen sesaham setelah mengambil kira ia sebagai sebuah syarikat pembinaan yang penting dan pengeluar sistem bangunan konkrit-perindustrian pracetak (IBS) terbesar di Malaysia Timur.

 

Setakat penghujung Julai 2021, SCIB memegang nilai projek terkumpul berjumlah RM2.4 bilion dengan projek terakhir melibatkan penyelenggaraan jalan di Terengganu bernilai RM138.5 juta.

 

Baca : SCIB dapat projek sulung di Semenanjung Malaysia, KPMG letak jawatan pengaudit syarikat

 

“Walaupun (masih ada cabaran) pandemik COVID-19, namun SCIB kekal optimis terhadap prospek perniagaannya,” jelas BIMB Securities.

 

Sebagai rekod, SCIB dan Serba Dinamik Holdings Berhad mempunyai pemegang saham utama yang sama iaitu Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah yang memegang 38.2% kepentingan di dalam syarikat. 

 

Namun, SCIB menegaskan bahawa kedua-dua syarikat itu bergerak secara bebas. 

 

Malah, BIMB melihat pesanan buku SCIB yang mempunyai kaitan dengan Serba Dinamik mendatangkan risiko kecil, seterusnya dijangka tidak memberi impak besar ke atas operasi SCIB.

 

“Risiko pengurangan pesanan bukunya adalah bernilai RM500 juta, seperti mana dibincangkan tadi, sekiranya kedua-dua projek berkaitan Serba Dinamik gagal diteruskan. 

 

“Apabila risiko ini ditangani, sentimen pelabur terhadap SCIB akan meningkat, berpotensi mendorong kepada pemulihan dalam harga sahamnya,” tambah BIMB Securities lanjut. - DagangNews.com