Harga sawit mentah diunjur pada purata AS$650 setiap tan tahun depan – Fitch Ratings | DagangNews Skip to main content

Harga sawit mentah diunjur pada purata AS$650 setiap tan tahun depan – Fitch Ratings

KUALA LUMPUR 22 Dis - Fitch Ratings menngunjurkan harga semasa penanda aras minyak sawit mentah (MSM) Malaysia pada purata AS$650 setiap tan pada 2024, jauh lebih rendah daripada kira-kira AS$840 setiap tan pada 2023 berikutan bekalan yang lebih tinggi.

 

Agensi penarafan kredit itu berkata harga telah merosot di bawah AS$800 setiap tan pada Disember 2023, selepas mengukuh pada November berikutan kebimbangan pasaran bahawa corak iklim El Nino akan memberi impak besar kepada bekalan minyak sayuran global.

 

“Kami berpendapat bahawa keadaan cuaca tidak akan merosot dengan ketara pada tahun depan. berdasarkan trend hujan terkini dan ramalan cuaca,” ulasnya dalam laporan Non-Rating Action Commentary bertajuk 'Pemantauan Minyak Sawit Mentah Asia untuk suku keempat 2023', lapor Bernama.

 

Menurut Fitch Ratings, pengeluaran MSM Malaysia dilihat pulih dengan kukuh, yang mana pengeluaran pada Oktober dan November 2023 berada pada paras tertinggi untuk bulan yang sama sejak 2018.

 

Katanya, Sime Darby Plantation (SDP), syarikat perladangan kelapa sawit terbesar di dunia mengikut kawasan tanaman, tenaga kerjanya di Semenanjung Malaysia telah kembali kepada kekuatan sebelum pandemik dan ketersediaan buruh di Sabah dan Sarawak akan kembali normal tidak lama lagi.

 

Jelasnya, tenaga kerja yang mencukupi berserta keadaan cuaca menggalakkan akan membolehkan pengeluar Malaysia meningkatkan hasil dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

“Jumlah pengeluaran di Indonesia adalah rendah selepas mencapai paras tertinggi pada Mei 2023, bagaimanapun, kami berpendapat situasi tenang itu adalah sementara dan pengeluaran akan meningkat dengan baik pada tahun depan,” katanya.

 

Sementara itu, inventori minyak sawit di Malaysia naik 6% tahun ke tahun setakat November 2023 dan berada pada paras tertinggi bulan tersebut sejak 2018.

 

Sebagai perbandingan, inventori di Indonesia sebanyak 23% merosot tahun ke tahun sehingga September 2023, berdasarkan data terkini.

 

“Kami berpendapat bahawa stok rendah di Indonesia boleh dikaitkan dengan eksport yang baik pada sepanjang tahun lepas, dengan permintaan domestik kukuh daripada biodiesel dan penurunan pengeluaran dalam beberapa bulan ini.

 

“Kami menjangkakan stok di Malaysia dan Indonesia akan meningkat seiring dengan pengeluaran minyak sawit,” menurut Fitch Ratings.

 

Sementara itu, agensi itu berkata jumlah eksport dari Malaysia dan Indonesia merosot tahun ke tahun sejak Ogos 2023, yang dipercayai akibat persaingan daripada minyak sayuran lain dan jangkaan pembeli terhadap penurunan harga MSM telah memainkan peranan dalam trend eksport.

 

Fitch Ratings meramalkan tekanan ke atas jumlah eksport akan berterusan dalam jangka pendek. - DagangNews.com