Harga siling RM35 benih padi sah elak manipulasi | DagangNews Skip to main content

Harga siling RM35 benih padi sah elak manipulasi

benih padi

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Penetapan harga siling Benih Padi Sah (BPS) bernilai RM35 per beg pada tahun 2021 dibuat bagi mengelak berlakunya manipulasi BPS dan harga lapangan menerusi pembelian tanpa kawalan oleh pelbagai pihak di pintu kilang.

 

Ketua Pengarah Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Azman Mahmood berkata, keputusan itu dibuat selepas mengesan wujudnya penjualan benih padi secara haram oleh agen atau orang tengah kepada pesawah tanpa lesen sah.

 

Azman Mahmood
Azman Mahmood

 

"Kementerian mengambil inisiatif melaksanakan mekanisme itu berikutan isu sama yang berulang pada setiap musim penanaman padi hingga menyebabkan berlaku isu kelewatan penghantaran benih padi dan harga dibeli pesawah tidak
dikawal sehingga dijual pada harga RM33 hingga RM60 setiap 20kg benih padi.

 

"MAFI kini dalam proses mengenal pasti syarikat-syarikat baharu untuk dipertimbangkan sebagai panel pengeluar benih padi sah bagi tempoh tiga tahun
akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

MAFI turut membuat pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) di bawah Seksyen 4(2) bagi mengatasi isu manipulasi harga dan pengedaran benih padi seperti berikut;

 

  1. Melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai pemborong tunggal.
  2. Mengeluarkan lesen peruncit hanya kepada 145 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berkaitan tanaman padi di Semenanjung Malaysia.
  3. Menetapkan harga siling benih padi sah di paras maksimum sebanyak RM35 per beg kepada pesawah tanpa melibatkan tambahan peruntukan insentif kepada kerajaan.
  4. Melaksanakan pengawasan kualiti di sepanjang rantaian nilai benih padi sah.

 

 

Tambah beliau lagi, hingga kini, sebanyak 81,000 beg telah diedarkan ke Negeri Selangor, Perak dan Pahang melalui agen rasmi yang berlesen melalui PPK. 

 

"Penggunaan benih padi sah oleh pesawah amat penting kerana dapat mengatasi padi angin di samping meningkatkan mutu pengeluaran padi dan beras negara secara konsisten," jelasnya lagi. - DagangNews.com