Hartalega catat untung bersih sebanyak RM27.7 juta bagi 2QFY24 | DagangNews Skip to main content

Hartalega catat untung bersih sebanyak RM27.7 juta bagi 2QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Nov - Hartalega Holding Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM27.7 juta bagi suku kedua berakhir 30 September 2023 (2QFY4) setanding dengan untung bersih RM28.34 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan itu bagaimanapun merosot kepada RM452.09 juta daripada RM584.56 juta pada suku yang sama sebelumnya disebabkan oleh jumlah jualan dan purata harga jualan (ASP) yang lebih rendah.

 

Bagi tempoh enam bulan hingga 30 September 2023, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM24.77 juta, berbanding keuntungan bersih RM116.62 juta dalam tempoh perbandingan sebelumnya, manakala hasil menyusut kepada RM892.12 juta daripada RM1.43 bilion dengan jumlah jualan dan ASP mengecil.

 

Tidak termasuk peruntukan sekali sahaja bagi gaji pemberhentian pekerja sebanyak RM47 juta bagi pemansuhan kemudahan Bestari Jaya yang diiktiraf pada suku pertama FY24.

 

Kumpulan itu itu akan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM38 juta untuk enam bulan pertamanya, berbanding RM171 juta pada tahun sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong berkata, keadaan mencabar dalam sektor sarung tangan dijangka berlarutan pada separuh kedua tahun kewangan, sambil industri terus terkesan akibat lebihan bekalan dan persaingan sengit di peringkat global, yang memberikan tekanan terhadap ASP.

 

Bagaimanapun, beliau berkata proses penyusunan semula kapasiti baru-baru in bagi pengeluar domestik utama dan juga langkah beberapa syarikat kecil untuk keluar daripada sektor ini telah mengurangkan sedikit tekanan akibat bekalan berlebihan di pasaran.

 

"Proses penyusunan semula operasi yang sedang dijalankan sesungguhnya satu inisiatif penting di bawah rancangan ini, yang membabitkan penutupan kemudahan Bestari Jaya untuk menyatukan operasi di Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) terkini kami di Sepang.

 

"Langkah ini, apabila selesai, dijangka menghasilkan kecekapan operasi dan menjimatkan kos menjelang suku pertama tahun kalendar 2024, lantas meletakkan lumpulan pada kedudukan yang kukuh untuk memanfaatkan pemulihan pasaran pada masa depan," katanya. - DagangNews.com