Hartalega diramal catat pendapatan teras sehingga RM25 juta pada 1QFY25 dipacu jumlah jualan kukuh | DagangNews Skip to main content

Hartalega diramal catat pendapatan teras sehingga RM25 juta pada 1QFY25 dipacu jumlah jualan kukuh

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Julai - RHB Investment meramalkan Hartalega Holdings Bhd catat pendapatan teras antara RM20 juta hingga RM25 juta pada 1QFY25 dipacu jumlah jualan lebih kukuh dan purata harga jualan (ASP) yang semakin baik dengan peningkatan 5% dari suku tahun ke suku tahun.

 

Katanya, prospek permintaan terhadap produk kumpulan itu juga bertambah baik dengan pertumbuhan sebanyak 8% ditambah dengan peningkatan kecekapan operasi kepada 79% daripada 73%.

 

Walaupun tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan kumpulan itu, namun firma penyelidikan percaya hasil mereka akan bertambah baik.

 

Sebelum ini, RHB Investment telah mengambil kira tambahan empat bilion dalam kapasiti baharu berikutan penempatan semula barisan pengeluaran ke kilang Kompleks Generasi Akan Datang (NGC) 1.5 menjelang akhir 2024.

 

"Dari segi kos, kami menganggarkan peningkatan 3% dari suku tahun ke suku tahun, disebabkan oleh harga nitril dan gas asli yang lebih tinggi. 

 

"Oleh itu, margin bersih berkemungkinan meningkat lagi kepada 4%, daripada 0.3% pada 4QFY24.

 

"Kami percaya dinamik operasi industri mula memihak kepada pengeluar sarung tangan, kerana pelanggan semakin menerima peningkatan ASP," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu menyukai Hartalega kerana kunci kira-kiranya yang teguh, model operasi yang cekap, dan menjadi penerima manfaat utama pemulihan dalam sektor sarung tangan perubatan.

 

"Kami meramalkan hasil suku tahunan kumpulan berada pada RM602 juta, mewakili pertumbuhan sebanyak 13.6%," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.10 sesaham. - DagangNews.com