Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Mei - Hasil jualan lebih tinggi telah melonjakkan keuntungan selepas cukai syarikat sarung tangan, Hartalega Holdings Berhad bagi tahun kewangan 2021 (FY21) sehingga mencecah RM2.90 bilion.
Ini meningkat sebanyak 568.4% daripada RM434.40 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya, menurut makluman Hartalega di Bursa Malaysia.
Bagi suku keempat FY21 (4Q21) yang berakhir 31 Mac lalu, syarikat sarung tangan itu menyaksikan keuntungan selepas cukai mencanak 884.5% kepada RM1.13 bilion daripada RM114.28 juta.
“Bagi suku tahun semasa, kumpulan berjaya mencapai hasil jualan yang lebih tinggi sebanyak RM2.30 bilion, meningkat sebanyak RM1.52 bilion atau 195.5% berbanding suku tahun sebelumnya.
“Hasil jualan yang lebih tinggi terutamanya didorong oleh lonjakan dalam purata harga jualan (ASP),” jelas Hartalega.
Ujar Hartalega, hasil jualan itu bagaimanapun diimbangi oleh pengurangan jumlah kontena global serta penutupan sementara beberapa barisan pengeluaran akibat penularan COVID-19.
Bagi suku tahun semasa, Lembaga Pengarah kumpulan telah mengisytiharkan dividen interim, tahap satu yang ketiga sebanyak 17.70 sen sesaham dan akan dibayar menjelang 9 Jun 2021.
Dari segi prospek, kumpulan itu berhasrat untuk terus mengembangkan kapasitinya di NGC, Sepang seiring peningkatan permintaan terhadap sarung tangan getah di peringkat global.
Tambah Hartalega, setakat ini, terdapat enam daripada 10 barisan pengeluaran di Kilang 7 telah beroperasi dan dijangka menghasilkan 2.7 bilion unit setiap tahun apabila beroperasi sepenuhnya.
“Dengan perancangan pengembangan ini, kapasiti tahunan kumpulan dijangka meningkat kepada 63 bilion unit menjelang dua atau tiga tahun akan datang.
“Di peringkat global, beberapa negara ketika ini berdepan kenaikan penularan COVID-19 terutamanya di rantau Amerika Selatan, Timur Tengah dan Asia Tenggara. Disebabkan oleh pandemik, permintaan bagi bekalan perubatan seperti sarung tangan dijangka terus meningkat dalam masa terdekat ini.
“Pasca pandemik, sektor itu dijangka mengalami peningkatan struktur dalam permintaan susulan peningkatan penggunaan sarung tangan daripada pasaran sedang membangun dengan penggunaan sarung tangan rendah per kapita dan peningkatan kesadaran kebersihan,” ujar Hartalega.
Setakat 3.37 petang, nilai saham Hartalega menyusut 2 sen kepada RM9.96. - DagangNews.com