Gambar hiasan
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 April - Pakar berpandangan pasaran hartanah di Malaysia telah mengalami trend penurunan sebelum COVID-19 lagi, disebabkan oleh isu-isu dasar seperti permintaan dan ‘bekalan’ hartanah selain tumpuan segmen oleh pemain industri.
Timbalan Pengarah Pengurusan Jones Lang Wootton, Prem Kumar berkata, isu-isu berkenaan sememangnya wujud dan lazim sebelum COVID-19, namun penularan pandemik itu telah berjaya mendorong para pemain industri untuk memberi penekanan ke atas aspek tersebut.
Di sebalik impak COVID-19, Kumar bagaimanapun melihat tiada penurunan yang signifikan, malah sejak Krisis Kewangan Asia (AFC) pada 1997 lagi.
“Jadi, pasaran hartanah Malaysia ‘berjalan’ dengan baik selama hampir 20 tahun, tanpa berhadapan dengan isu besar.
“Pandemik COVID-19 ini hanya situasi tidak terjangka yang sementara dengan harapan program vaksinasi, perjalanan gelembung dan kebiasaan baharu akan menambah pengukuhan pasaran hartanah di Malaysia,” jelasnya pada taklimat media mengenai Property Awards Malaysia 2021 oleh PropertyGuru Asia secara maya hari ini.
Turut serta, Pengarah Urusan PropertyGuru Asia Property Awards & Events, Jules Kay; Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez; Pengurus Besar Kitchen & Bath Selatan dan Utara Asia Timur, Kohler, Leo Leong; dan Rakan Kongsi Kanan HLB Ler Lum Chew, Datuk Patrick Chew.
Mengulas mengenai prospek pasaran hartanah bagi sepanjang tahun ini, Kumar optimis sektor itu masih mampan dan mempunyai kekuatan cukup untuk berdepan cabaran COVID-19.
Ujar beliau, situasi pasaran hartanah dalam tempoh beberapa bulan akan datang juga dijangka menawarkan peluang kepada pembeli untuk memilih hartanah yang diingini.
“Dalam senario perbandingan pembeli dan penjual, saya melihat buat masa ini (pasaran hartanah) agak tidak memihak kepada pembeli walaupun terdapat pembangunan hartanah baharu serta diskaun harga.
“Tetapi, ada potensi keadaan akan beralih untuk memberi keuntungan kepada pembeli dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya lagi.
Sementara itu, Fernandez mendedahkan sentimen pembeli hartanah buat masa ini semakin positif terutamanya minat yang kian meningkat dalam kalangan golongan muda.
Ini terbukti menerusi trafik carian berkaitan hartanah yang melonjak sebanyak 7.4% pada suku ketiga 2020 (3Q20) berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya dengan 12 juta lawatan pengguna bulanan diraih laman web PropertyGuru.com.my.
“Pembeli kali pertama kebanyakannya dilihat berminat terhadap hartanah baharu dengan persekitaran, ciri-ciri dan lokasi menjadi faktor utama mempengaruhi pilihan mereka.
“Salah satu faktor utama yang menarik adalah kebanyakan individu mencari rumah yang mempunyai kawasan sambungan internet kuat selain persekitaran bersih,” ujar beliau lanjut.
Anugerah PropertyGuru Asia Property Awards Malaysia 2021 memberi pengiktirafan kepada pemain industri hartanah tempatan yang berdasarkan penilaian ke atas beberapa aspek termasuk reputasi, kualiti projek, kejayaan penjualan serta rekod pencapaian mereka.
Anugerah itu merangkumi tiga kategori utama iaitu pemaju, pembangunan dan reka bentuk hartanah, di mana para pemenang akan diumumkan dalam sebuah majlis gala secara maya menjelang 15 September 2021. - DagangNews.com