Hasil bon Malaysia dijangka meningkat minggu ini - Kenanga | DagangNews Skip to main content

Hasil bon Malaysia dijangka meningkat minggu ini - Kenanga

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Mei - Kadar hasil bon negara iaitu Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dijangka meningkat pada minggu ini. 

 

Ramalan itu dibuat oleh Kenanga Research, yang didorong oleh pergerakan Perbendaharaan Amerika Syarikat (UST) serta data ekonomi kukuh. 

 

“Kami mengekalkannya (ramalan) di mana dalam jangka masa sederhana dan panjang, kadar hasil MGS serta GII dijangka meningkat susulan pemulihan ekonomi domestik yang dijangkakan. 

 

“Namun, risiko penurunan masih ada ketika kes COVID-19 tempatan terus meningkat,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.

 

Kadar hasil MGS dan GII rata-ratanya meningkat pada minggu lalu, kecuali bagi MGS lima tahun. 

 

MGS 10 tahun menokok 9.6 mata asas (bps) kepada 3.177% pada 28 April sebelum ditutup pada 3.123%. 

 

Sementara itu, MGS tiga tahun pula melonjak 25.4 bps kepada 2.366%, meletakkan penanda aras baharu.

 

Tambah Kenanga, permintaan bagi MGS dan GII secara umumnya menerima tekanan pada minggu lalu dipacu oleh data eksport bagi bulan Mac yang kukuh selain kadar hasil UST yang kian meningkat. 

 

“Kami masih menjangkakan aliran masuk asing ke dalam pasaran hutang tempatan akan berterusan dalam masa terdekat, disokong oleh perbezaan hasil yang tinggi. 

 

“Namun, aliran masuk April mungkin berkurangan sedikit susulan kebimbangan terhadap jangkitan COVID-19 tempatan dan global yang tinggi. 

 

“Tebaran kadar hasil MGS dan UST 10 tahun berkurang kepada 150 bps daripada 152 bps pada minggu sebelumnya,” jelas Kenanga lanjut.

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit terus meningkat berbanding dolar AS bagi lima minggu berturut-turut. 

 

Bagi minggu ini, Kenanga menjangkakan ringgit bakal berlegar dalam julat 4.08 hingga 4.10. 

 

Namun, model teknikal firma penyelidikan itu menjangkakan ringgit berpotensi untuk menyusut, kepada 4.099. - DagangNews.com