Hasil jual kepentingan Axiata dalam XL mungkin untuk bangunkan infrastruktur telekomunikasi di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Hasil jual kepentingan Axiata dalam XL mungkin untuk bangunkan infrastruktur telekomunikasi di Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Sebahagian besar hasil daripada pelupusan kepentingan Axiata Group Berhad menerusi anak syarikatnya di dalam XL Axiata mungkin dilaburkan semula untuk pembangunan rangkaian infrastruktur telekomunikasi di Malaysia. 

 

Bagi penganalisis di PublicInvest Research, Eltricia Foong, pelupusan tersebut dijangka tidak mendatangkan impak material ke atas unjuran perolehan utama dan penilaian kumpulan buat masa ini. 

 

“Susulan daripada pelupusan itu, harga sasaran (TP) kami yang berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOTP) diunjurkan berkurangan kira-kira 1.2%, sementara impak ke atas keuntungan bersih utama dijangka tidak material.

 

“Saranan ‘neutral’ dan TP RM4.00 tidak berubah,” jelas Foong dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Semalam, Axiata mengumumkan  anak syarikat tidak langsung miliknya, Axiata Investments (Indonesia) Sdn Bhd (AIISB) bakal melupuskan 5% kepentingan mewakili 553.4 juta saham XL Axiata kepada Ferrymount Investments Limited (FIL) pada nilai RM423.5 juta atau RM0.79 sesaham. 

 

Ini selepas AIISB dan FIL hari ini telah memeterai perjanjian jual dan beli (SPA) bersama-sama Procap Partners Ltd (Procap) dan Tiga Investments Pte Ltd (Tiga Investments) sebagai penjamin, menurut makluman Axiata di Bursa Malaysia. 

 

Baca : Axiata Investments jual 5% kepentingan dalam XL kepada Ferrymount bernilai RM423.5 juta

 

Setakat ini, AIISB memegang 66.5% kepentingan ekuiti dalam XL yang merupakan sebuah syarikat tersenarai di Bursa Indonesia.

 

Sebagai rekod, Procap membuat pelbagai pelaburan di dalam syarikat yang berfokuskan teknologi di Indonesia serta Asia Tenggara, sementara Tiga Investments yang diasaskan oleh George Raymond Zage pula mempunyai matlamat untuk mencapai pelaburan jangka panjang dan aktif di dalam sektor teknologi di Indonesia. 

 

Procap dan Zage masing-masing memegang ⅔ dan ⅓ kepentingan ekuiti secara tidak langsung di dalam FIL. 

 

Setakat 2.30 petang, harga saham Axiata menokok 2 sen kepada RM4.05. - DagangNews.com