Hasil MSM melonjak 12% bagi Suku 3 tahun ini | DagangNews Skip to main content

Hasil MSM melonjak 12% bagi Suku 3 tahun ini

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Peningkatan margin jualan serta pengeksportan produk-produk baru terus memperkukuhkan hasil MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), disusuli jumlah kerugian bersih yang lebih rendah sebanyak 62% pada suku berakhir 30 September 2020 (S3’20) berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

 

Pemilik jenama ‘Gula Prai’ tersebut mencatatkan hasil keseluruhan berjumlah RM594.6 juta bagi S3’20, peningkatan sebanyak 12% berbanding RM531.7 juta pada S3’19. MSM merekodkan jumlah keuntungan operasi sebanyak RM5.6 juta bagi S3’20 sebelum pelarasan rosot nilai.

 

Dalam tempoh yang ditinjau, syarikat telah menghapus kira aset tumbuhan penghasil melibatkan tanaman getah yang terjejas akibat kebakaran di Chuping, Perlis sebanyak RM27.2 juta, diikuti pelarasan rosot nilai sebanyak RM35.7 juta susulan daripada perubahan dalam pengolahan perakaunan bagi aset-aset yang sama berikutan pembatalan perancangan jualan terdahulu.

 

Oleh yang demikian, Kerugian Sebelum Cukai untuk S3’20 telah dicatatkan sebanyak RM57.4 juta. Kumpulan turut merekodkan peningkatan dalam Pendapatan sebanyak RM63.0 juta, hasil daripada peningkatan dalam jumlah jualan bagi pasaran industri dan eksport serta premium eksport yang lebih baik.

 

Bagi pasaran domestik, susulan penambahbaikan dalam parameter utama operasi seperti hasil pemprosesan dan kos penapisan, margin yang lebih tinggi dapat dicapai.

 

Untuk bahagian eksport, MSM merekodkan peningkatan Jualan sebanyak 92,000 tan metrik, lima kali ganda peningkatan daripada tahun lepas sebanyak 19,000 tan metrik disertai premium yang tinggi. Ini telah menyumbang kepada usaha syarikat dalam memaksimumkan penggunaan kapasiti Kumpulan secara signifikan.

 

“MSM kekal berdaya tahan dalam mengoptimumkan pasaran domestik, memacu pertumbuhan eksport serta mempelbagaikan produk-produk yang ditawarkan bagi memenuhi permintaan para pelanggan.

 

"Selain itu, kedua-dua kilang pemprosesan di Prai dan Johor turut merekodkan penambahbaikan dalam operasi. Di sebalik beberapa kekangan teknikal di Johor, MSM terus berusaha dalam memberikan prestasi yang mampan,” kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Fakhrunniam Othman.

MSM
                   Fakhrunniam Othman

 

Sorotan operasi, Kumpulan turut menjana hasil pemprosesan dan kos penapisan yang lebih baik sebanyak 3% dan 13% berbanding S3’19. Pencapaian ini adalah hasil daripada 2 peningkatan dalam kadar kecekapan, pengukuhan proses dalaman serta peningkatan penggunaan kapasiti di kedua-dua kilang.

 

Fakhrunniam turut menambah, “seperti yang dirancang, pembangunan produk-produk bernilai tambah untuk dieksport, penyatuan kapasiti penapisan dan penyempadanan pasaran telah menambahbaik penghasilan produk-produk kami untuk para pelanggan secara berperingkat.

 

"Kami kekal komited dalam melaksanakan pelan pemulihan dan strategi pertumbuhan walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik global serta ramalan pasaran yang lemah bagi beberapa industri.”

 

MSM juga memperkenalkan bungkusan terbaru produk-produk gula bertapis yang merangkumi gula kasar, halus, perang, kastor dan aising. Bungkusan terbaru tersebut mencerminkan ‘Gula Prai’ sebagai jenama yang dipercayai, dengan 50 tahun pengalaman dalam industri penapisan gula, memberi kemanisan dalam hidup rakyat Malaysia sejak tahun 1964.

 

Bentuk bujur klasik yang menggambarkan satu sudu gula penuh serta warna yang berbeza-besa mewakili jenis-jenis gula tersebut telah dikekalkan dengan pengubahsuaian grafik yang lebih moden. Bungkusan baru ‘Gula Prai’ telah mula memasuki pasaran secara berperingkat mulai September 2020.

 

MSM telah mula mengeksport produk-produk baru seperti gula cair, sirap gula dan pracampuran. Produk-produk baru berasaskan gula ini adalah sebahagian daripada program pemelbagaian Kumpulan yang akan memperlihatkan MSM menghasilkan serta mengeksport produk-produk berasaskan gula bernilai tambah ke dalam pasaran.

 

MSM mensasarkan tahun hadapan yang lebih menarik dan akan memperkenalkan lebih banyak produk-produk seperti ini yang akan membantu syarikat untuk mencapai hasil dan keuntungan yang lebih baik.

 

Secara progresif, MSM akan terus memperkasakan keupayaan operasi, mengenalpasti kekuatan dalan kelemahan dan memacu strategi pertumbuhan dalam mencapai keseimbangan dari tiga aspek melibatkan operasi, aliran tunai serta kepuasan pelanggan, bagi menghasilkan nilai yang lebih baik untuk para pemegang saham. - DagangNews.com