Hasil Propel Global meningkat 12.3% kepada RM24.7 juta pada suku ketiga | DagangNews Skip to main content

Hasil Propel Global meningkat 12.3% kepada RM24.7 juta pada suku ketiga

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Mei - Penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G) serta bahan kimia khusus hiliran kepada industri O&G, Propel Global Bhd mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 12.3% kepada RM24.7 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2023 berbanding RM22 juta pada suku sama tahun sebelumnya dengan pengembangan jangkauan perkhidmatannya.

 

Propel Global dalam kenyataan hari ini berkata, walaupun keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi kedua-dua segmen O&G dan Perkhidmatan Teknikal telah meningkat daripada suku ketiga berakhir 31 Mac 2023, kos pentadbiran korporat lebih tinggi memberi impak terhadap keuntungan kumpulan. 

 

Katanya, kumpulan mencatatkan penurunan PBT sebanyak 28.1% kepada RM0.9 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2023 berbanding PBT sebanyak RM1.2 juta suku sama tahun sebelumnya.

 

"Dari segi segmen, operasi O&G kumpulan melaporkan hasil sebanyak RM12.1 juta dan PBT sebanyak RM2.7 juta untuk suku ketiga berakhir 31 Mac 2023, manakala Perkhidmatan Teknikal menyumbang hasil sebanyak RM12.6 juta dan PBT sebanyak RM1.1 juta. 

 

"Segmen lain kumpulan mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM2.9 juta bagi suku yang ditinjau disebabkan perbelanjaan pentadbiran korporat, seperti caj profesional dan kos kakitangan daripada operasi berterusan.

 

"Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2023, Propel Global mencatatkan peningkatan sebanyak 14.3% dalam perolehan kepada RM67.4 juta berbanding RM59 juta pada suku sama tahun sebelumnya. PBT kumpulan bagi suku tersebut meningkat sebanyak 2.5 kali ganda kepada RM6.8 juta berbanding RM2 juta pada suku sama tahun sebelumnya," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Propel Global, Angeline Lee berkata, kumpulan sekali lagi melaporkan satu lagi suku keuntungan ketika mereka terus memberi tumpuan mengukuhkan prestasi kewangan dengan memanfaatkan kepakaran dan kekuatan pihaknya. 

 

 

propelglobal
                                                        Angeline Lee

 

 

Katanya, ia merupakan suku ketiga berturut-turut kumpulan telah mencatatkan prestasi kewangan yang positif sejak disenaraikannya dengan dua segmen perniagaan utama O&G dan perkhidmatan teknikal menyumbang secara positif.

 

"Kami ingin memberi jaminan kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan lain bahawa pihak pengurusan sedang berusaha ke arah menaikkan status PN17 kumpulan. 

 

"Prestasi kewangan positif kumpulan sehingga kini dijangka akan disokong harga minyak mentah yang stabil dan permintaan yang memberi manfaat kepada perniagaan seperti kami yang terlibat dalam perkhidmatan O&G," katanya. - DagangNews.com