Hasnita dilantik Pengerusi Maybank Kim Eng dan Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Hasnita dilantik Pengerusi Maybank Kim Eng dan Maybank IB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Kumpulan Malayan Banking Berhad (Maybank) mengumumkan pelantikan Dr. Hasnita Hashim sebagai Pengerusi Maybank Kim Eng Holdings Ltd dan Maybank Investment Bank yang baharu berkuatkuasa 2 November 2020.

Beliau akan mengambil alih jawatan Datuk Mohaiyani Shamsudin yang bakal bersara dari Maybank pada 1 November 2020.

Hasnita telah berkhidmat di Lembaga Pengarah Maybank sejak 1 Julai 2016 apabila dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif bebas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias ​​berkata, pengalaman luas Hasnita terutamanya dalam bidang pengurusan kewangan global akan menjadi aset penting bagi Kumpulan Perbankan Pelaburan Maybank, yang sedang berusaha memperkukuhkan lagi francaisnya di peringkat global.

“Dengan pandangan mendalam yang dimiliki beliau dalam operasi Kumpulan Maybank, kami yakin bahawa beliau akan terus memanfaatkannya untuk memimpin kumpulan perbankan pelaburan kami menempuh cabaran semasa pada ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hanista merupakan lulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang Fizik Nuklear dari Oxford University dan memiliki Sarjana Muda Sains dalam Fizik dari Surrey University di United Kingdom (UK).

Beliau juga pernah menjadi ahli Associate dari Institute of Actuaries, Staple Inn, London.

Hasnita mempunyai 30 tahun pengalaman pengurusan kewangan global dalam bidang pengurusan aset, kewangan berstruktur dan pensekuritan aset, dengan memegang peranan pengurusan kanan di syarikat tempatan dan multinasional lebih dari 20 tahun.

Beliau juga terkenal sebagai pelopor dan inovator dalam kewangan Islam dan mempunyai hubungan yang luas dengan pelabur besar dan pemain perniagaan utama khususnya dari negara-negara Teluk Arab. – DagangNews.com