Hasrat memodenkan aset ATM masih jauh, peruntukan sederhana di dalam Bajet 2023 | DagangNews Skip to main content

Hasrat memodenkan aset ATM masih jauh, peruntukan sederhana di dalam Bajet 2023

Bajet pertahanan sepatutnya selari dengan cabaran dan ancaman keselamatan baharu yang dihadapi dunia hari ini.
Analisis Bajet 2023 oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR - Belanjawan pertahanan yang diumumkan pada Bajet 2023 semalam menyaksikan pertambahan peruntukan walaupun jumlahnya tidak besar.

 

Sebanyak RM17.4 bilion diberikan kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan tambahan 7.8 peratus atau RM1.23 bilion berbanding peruntukan tahun lalu.

 

Melihat bajet tersebut, nampaknya harapan untuk menyaksikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh berbelanja besar untuk pemodenan aset masih jauh.

 

Sebelum ini Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang memohon supaya peruntukan dalam Bajet 2023 ditambah kepada 1.5 peratus berbanding 1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Sekiranya dinaikkan, maka peruntukan pertahanan pada tahun depan dijangkakan sekitar RM24 bilion-RM25 bilion.

 

Hanya dengan pembangunan aset pertahanan seimbang ATM dapat bersaing dan meningkatkan keupayaan cegah rintang yang menjadi faktor kritikal dalam menjamin kedaulatan negara.

 

Sedangkan dengan cabaran dan ancaman keselamatan yang dihadapi dunia hari ini, ATM sebaliknya terpaksa akur pada apa yang diberikan kerajaan.

 

 

zaki
Kesiapsagaan ATM untuk menghadapi sebarang kemungkinan perlu menjadi keutamaan.

 

 

Ini kerana daripada Bajet 2023, jumlah pembelian dan penyelenggaraan aset ATM bagi meningkatkan kesiagaan pertahanan adalah kira-kira RM4 bilion.

 

Jika ditukar pada matawang dolar Amerika Syarikat (AS), jumlah tersebut sekitar AS$860 juta iaitu tidak sampai angka 1 bilion

 

Ini kerana transaksi perolehan aset pertahanan dilakukan dalam matawang dolar AS.

 

Sekiranya dibahagikan dua iaitu untuk bajet senggaraan aset, maka yang tinggal untuk perolehan baharu cuma AS$430 juta.

 

Pada angka ini, logiknya sukar untuk melaksanakan perolehan aset-aset besar atau utama sepertimana yang telah disenaraikan ATM bagi projek tahun hadapan.

 

Misalnya, program perolehan pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (LCA/FLIT) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah RM2.5 bilion.

 

TUDM telah memohon bajet untuk perolehan fasa pertama bagi 18 buah pesawat melalui pendaftaran projek baharu 2021 iaitu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

 

Umum menjangkakan perolahan LCA/FLIT yang dapat melonjakkan payung pertahanan udara negara ini diumumkan tahun hadapan.

 

Pesawat ini dijangka akan tiba pada penghujung tahun 2025 dan bakal beroperasi pada tahun 2026.

 

Aset lain yang diinginkan TUDM ialah Unmanned Aerial System (UAS) dan pesawat rondaan maritim (MPA) bagi mengatasi jurang keupayaan sedia ada.

 

 

zaki
Unmanned Aerial System (UAS) antara aset baharu yang diperlukan TUDM.

 

 

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula ketika ini berhadapan dengan isu kekurangan kapal-kapal perang, manakala jumlah yang ada pula telah berusia.

 

Atas kepentingan tersebut, projek perolehan kapal misi pesisir (LMS) melibatkan tiga daripada lapan buah yang dirancang telah dimasukkan dalam Rolling Plan Ketiga RMK-12 bagi tahun 2023.

 

Melalui perancangan selama tiga tahun itu, ATM telah memastikan bahawa perolehan tersebut adalah yang paling kritikal dan penting.

 

Jika pembelian boleh dimulakan tahun hadapan, tiga buah LMS dijangka diterima pada tahun 2026 tetapi tempoh itu akan menjadi panjang selagi tidak dapat dimuktamadkan.

 

Bagaimana pun, kos pembinaan tiga buah LMS dijangka menelan AS$524 juta atau sekitar RM2.4 bilion, jadi hampir pasti ia tidak dapat dilaksanakan tahun hadapan.

 

Pada Bajet 2022, MINDEF  menerima peruntukan RM16.14 bilion, tetapi jika dikira pada penyusutan nilai ringgit berbanding dolar hari ini maka bajet pertahanan 2023 sebenarnya kecil.

 

Ini mengambil kira pendapatan dan keadaan kewangan semasa negara selain menghadapi jangkaan ekonomi meleset tahun hadapan.

 

 

zaki
TLDM terpaksa bergantung kepada kapal-kapal lama jika kerajaan tidak dapat memulakan perolehan LMS.

 

 

Adakah Malaysia tidak memerlukan bajet pertahanan yang tinggi? Hanya kerajaan dan pemimpin negara yang boleh menjawab soalan ini.

 

Bagaimana pun, Bajet 2023 belum muktamad sekiranya Parlimen dibubarkan sebelum rang undang-undang (RUU) belanjawan itu diluluskan Dewan Negara.

 

BACA: Bajet 2023: RM357 bilion untuk KDN dan Mindef perkukuh keselamatan awam negara

 

Jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan sebelum RUU itu diluluskan, ia tidak akan memberi kesan sehingga kerajaan baru dibentuk dan dibentangkan semula untuk kelulusan.

 

Jadi, berkemungkinan juga bajet lain dikemukakan dan jika itu berlaku diharap angka yang diletakkan hendaklah relevan dengan kehendak ATM. - DagangNews.com