SELEPAS tiada lagi penjarakan fizikal dengan membenarkan solat jemaah rapat setelah dua tahun memberikan kebebasan dan keterbukaan.
Umat Islam menunaikan ibadat puasa Ramadan, suatu nikmat yang wajib disyukuri sebab terpilih untuk berada dalam bulan yang penuh rahmat dan keberkatan ini.
Ramadan datang dengan ruang cukup barakah untuk umat Islam melakukan ibadat sama ada wajib mahupun sunat.
Masjid dan surau pasti penuh dikunjungi umat Islam bagi menunaikan solat sunat Tarawih. Selepas itu disambung pula dengan tadarus al-Quran secara berkumpulan dan ada yang menghidupkan malam dengan qiamullail.
Suasana pada awal Ramadan biasanya berlaku di semua tempat dengan ramai berjemaah. Ketika menyaksikan umat Islam ramai memenuhi rumah Allah SWT untuk menunaikan ibadat, kita merasai kebenaran ayat Allah SWT yang menyatakan Islam adalah satu-satunya agama yang diterima di sisi-Nya.
Bulan Ramadan berlangsung dan datang selama sebulan. Biasanya fenomena masjid dan surau dipenuhi jemaah hanya pada awal bulan puasa.
Menjelang akhir Ramadan, kebanyakan tempat berlaku penyusutan bilangan jemaah yang sangat ketara dan hampir setiap tahun berlaku. Mungkin pada awal Ramadan masih rajin dan penat serta malas bila penghujung bulan.
Peringatan Allah SWT berkenaan masa dimana ramai manusia tergolong dalam kalangan orang rugi. Pesanan dan peringatan perlu diberikan supaya semua terselamat daripada menjadi orang yang rugi di akhirat.
Mungkin ramai umat Islam tidak istiqamah melakukan ibadat seperti berlaku pada awal Ramadan ialah kerana diri tidak beramal berlandaskan ilmu yang benar Dengan budaya ikut-ikutan dalam beribadat perlu dijauhi dan dihindari kerana ibadat perlu dilakukan atas dasar ilmu yang wajib diketahui.
Manakala ilmu pula mesti bersumberkan dalil sahih, bukan yang palsu dan tiruan. Terlalu banyak dalil membuktikan Ramadan dipenuhi dengan keberkatan dan barakah. Dengan penghujung Ramadan disediakan satu malam amat istimewa dan diberkati, qiamulail.
Mungkin umat Islam gagal melawan nafsu untuk terus istiqamah menghidupkan dan ada faktor sekeliling yang tidak menyokong. Kebanyakan semakin aktif membuat persiapan hari raya dengan lagu raya berkumandang, promosi tawaran hebat barangan di pusat beli-belah untuk topik perbualan harian bertukar fokus kepada hari raya.
Rasanya itulah yang membuatkan ramai terleka dan terburai sehingga tidak berasa rugi apabila tidak ke masjid. Malah, ada yang sanggup mengatakan dengan bangga yang tidak mengapa tidak ke masjid kerana tarawih hanyalah sunat sahaja.
Di Malaysia terlalu didedahkan dengan tawaran buffet di restoran ternama dan hotel bertaraf antarabangsa untuk berbuka puasa.
Manakala umat Islam di negara timur tengah dan barat lebih gemar mengadakan majlis berbuka puasa di masjid bagi mengeratkan lagi hubungan antara mereka. Dapat pula menjimatkan belanja serta memudahkan mereka menunaikan solat Tarawih.
Di Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi misalnya menjadi pusat ibadah sepanjang Ramadan dengan lebih 30,000 orang jemaah. Menu berbuka puasa atau iftar disajikan makanan tradisional yang mencakup kurma dan yoghurt atau laban serta campuran protein, karbohidrat dan berkhasiat.
Sepanjang Ramadan orang sentiasa penuh di masjid di UAE dan semakin ramai bila penghujung bulan.
Saya sentiasa ke masjid sewaktu di Dubai dan Sharjah dan dapat melihat betapa ramainya orang dengan menambah saf di masjid di tempat parkir apabila 10 malam terakhir.
Masjid sentiasa terbuka setiap waktu dan bila-bila masa kita boleh pergi ke masjid untuk membaca quran dan beribadah. Selain malam dihidupkan dengan pelbagai aktiviti selama sebulan kerana hari raya hanya disambut sehari dan bekerja selepas itu.
Untuk menghidupkan semula suasana Ramadan sepertimana yang disarankan oleh Nabi Muhammad, setiap pihak haruslah memainkan peranan sebaiknya selepas tiada lagi PKP.
Pihak jawatankuasa masjid perlulah memperbanyak dan mempelbagaikan program di sepanjang Ramadan untuk menarik lebih ramai jemaah menghadiri masjid di akhir bulan seperti program berbuka puasanya, sesi tazkirah dan taddarus al-Quran serta ibadah dengan syumul.
Pihak media elektronik dan media sosial tidak perlulah terlalu mempromosikan program hiburan rancangan raya, sebab penonton yang hendak menonton rancangan sedemikian akan tetap menontonnya.
Mungkin juga ada baiknya rancangan TV menunjuk contoh bagaimana umat Islam di negara lain menyambut Ramadnan baik di negara timur tengah, Eropah, Afrika, Amerika Utara dan Amerika Selatan. Apalagi negara yang dilanda konflik seperti di Rusia, Ukraine, Iraq, Palestin, Chechnya dan Myanmar.
Banyak terdapat dalan Youtube yang boleh diambil untuk tontonan.
Rasanya memberi kesedaran kepada umat Islam agar menggunakan sepenuhnya suasana aman damai di Malaysia untuk melakukan lebih banyak ibadah di bulan Ramadan, serta mendoakan keamanan dan kesejahteraan untuk umat Islam di seluruh dunia.
Ingatlah sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka akan diampuni segala dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bersama kita berpuasa dan beribadah bukan hanya di bulan Ramadan, sepanjang tahun sementara bernafas dalam sementara dengan tidak melakukan rasuah, penyelewengan terhadap alam semula jadi seperti hutan, lautan, sungai, gunung-ganang dan makhluk. - DagangNews.com