Helikopter tempur Z-10ME China buat penampilan pada Pertunjukan Udara Singapura | DagangNews Skip to main content

Helikopter tempur Z-10ME China buat penampilan pada Pertunjukan Udara Singapura

Helikopter tempur Z-10ME membuat penampilan pada Pertunjukan Udara Singapura.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 20 Feb - China buat pertama kali mempamerkan versi eksport helikopter tempurnya yang dibangunkan dalam negara, Z-10ME pada Pameran Udara Singapura 2024.

 

Pameran udara berprestij itu bermula hari ini sehingga Ahad depan.

 

Helikopter Z-10 telah pun dioperasikan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) selain sering ditonjolkan secara meluas dalam latihan serta dipaparkan sebagai bahan publisiti rasmi.

 

Helikopter penyerang kelas sederhana itu dilihat terbang dalam formasi besar semasa latihan manuver di kedua-dua bahagian timur dan barat China - Taiwan dan India. 

 

Helikopter
Helikopter tempur Z-10ME.

 

Pakistan menjadi pengguna pertama helikopter tempur ini yang sepatutnya mula menerima penghantaran Z-10ME pada akhir tahun lalu.

 

Laporan mengatakan bahawa pesawat China itu adalah pengganti helikopter T129 ATAK buatan Turkiye yang tidak dapat diperoleh Islamabad disebabkan sekatan Amerika Syarikat (AS).

 

Ini kerana komponen enjin helikopter T129 ATAK dibekalkan oleh AS.

 

Foto menunjukkan helikopter Z-10ME bersama kelengkapan di ruang pameran statik pada Pertunjukan Udara Singapura juga meluas dikongsi menerusi media sosial.

 

Walaupun Z-10ME tidak mengambil bahagian dalam pertunjukan udara, namun kehadiran di Singapura bakal memberi saingan kepada pesawat pencabar iaitu AH-64E Apache.

 

Helikopter
Pod pelancar roket pada sisi helikopter.

 

Helikopter
Meriam kaliber 23mm.

 

Dua helikopter Apache turut dipamerkan secara statik iaitu milik tentera AS manakala satu lagi AH-64D kepunyaan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF).

 

Dengan kehadiran wakil-wakil tentera dan pemimpin negara dari serata dunia, kemunculan helikopter tempur Z-10ME di Singapura dapat memberikan publisiti meluas.

 

Mutakhir ini pembangunan teknologi pertahanan China meningkat berkali ganda apabila banyak produk atau sistem persenjataan yang dihasilkan mempunyai kualiti setanding negara barat.

 

Ia berbeza semasa 15 tahun lalu sekali gus memberi cabaran besar kepada negara-negara pengeksport kelengkapan pertahanan termasuk AS, Perancis dan Rusia.

 

Helikopter
Pelbagai peluru berpandu dan roket yang boleh dipasang pada helikopter Z-10ME.

 

Pakistan sebagai contoh gemar mendapatkan sistem persenjataan dari China disebabkan persaingan dengan India yang mana sedikit demi sedikit kelengkapan yang dibekalkan dilihat mempunyai kualiti setanding negara barat.

 

Maka tidak hairanlah jika Z-10ME mampu menarik pembeli khususnya dari negara rantau pada harga yang lebih mampu milik tetapi berteknologi tinggi.

 

Helikopter tempur ini dilengkapi senjata kaliber 23 milimeter yang dipasang pada hadapan pesawat selain boleh membawa peluru berpandu udara ke udara, udara ke darat dan roket.

 

Ia boleh dipasang sama ada 16 peluru berpandu antikereta kebal atau pod pelancar roket bergantung pada operasi yang dijalankan.

 

Z-10ME juga menampilkan apa yang kelihatan seperti penderia amaran peluru berpandu pada bahagian hadapan pesawat dan perisai untuk menahan tembakan senjata kecil.

 

Helikopter
Helikopter Apache.

 

Helikopter
T129 ATAK.

 

Disifatkan sebagai pesaing kepada helikopter AH-64 Apache, media China melaporkan bahawa mendakwa Z-10 lebih mudah diselenggara, lebih pantas dan mampu beroperasi lebih lama.

 

Malah, Z-10ME juga dikatakan lebih baik berbanding helikopter tempur Eurocopter Tiger buatan Eropah.

 

Namun begitu, varian Z-10 yang dilengkapi radar gelombang milimeter pada tiang di atas rotor utama menunjukkan helikopter tersebut -10 direka untuk setanding dengan varian Longbow Apache AH-64 AS.

 

Sistem tersebut adalah radar kawalan tembakan yang menyasar dan memandu tembakan peluru peluru berpandu antikereta kebal jarak jauh dan peluru berpandu udara ke darat yang lain. - DagangNews.com