Henti operasi di Myanmar, prospek pendapatan Daiboci terjejas | DagangNews Skip to main content

Henti operasi di Myanmar, prospek pendapatan Daiboci terjejas

Daiboci

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Mac. - Prospek pendapatan syarikat pengeluar produk dan perkhidmatan perindustrian, Daibochi Berhad (Daibochi) terjejas susulan pemberhentian operasi di Yangon, Myanmar.

 

MIDF Research berkata, ia susulan daripada keadaan yang tidak terkawal akibat tindakan tunjuk perasaan yang sedang berlaku di negara berkenaan.

 

"Ketidakstabilan politik dan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan Daiboci menghentikan operasi pembuatan di Yangon, Myanmar pada Februari 2021.

 

"Kumpulan ini bagaimanapun akan terus memerhatikan perkembangan semasa di negara berkenaan," jelas MIDF Research.

 

Susulan situasi berkenaan juga, anggaran pendapatan syarikat berkenaan disemak dengan kenaikan minimum bagi tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023.

 

Penilaian itu dibuat dengan mengambil kira faktor permintaan yang tinggi terhadap produk pembungkusan plastik fleksibel (FPP) dan ketidaktentuan COVID-19.

 

"Kami menyesuaikan anggaran pendapatan Daiboci sedikit menaik bagi tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023 masing-masing kepada RM51.0 juta, RM51.2 juta dan RM51.3 juta," tambah MIDF Research.

 

Daibochi mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM27.9 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2021.

 

Bagi suku kedua tahun kewangan 2021, syarikat berkenaan mencatatkan peningkatan pendapatan yang mengejutkan sebanyak 18.1% kepada RM15.1 juta berbanding suku sebelumnya. 

 

MIDF Research memberitahu, pihaknya membuat semakan semula terhadap harga sasaran sesaham (TP) Daiboci kepada RM2.96 berbanding RM2.94 pada sebelumnya.

 

Dalam masa yang sama, MIDF Research turut mengekalkan saranan 'beli' saham Daiboci. - DagangNews.com