KUALA LUMPUR 23 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan saranan 'beli' terhadap Hibiscus Petroleum Bhd. pada harga sasaran RM1.56 sesaham selepas kumpulan merekodkan prestasi kewangan yang memenuhi jangkaan firma.
Keuntungan bersih syarikat minyak dan gas itu meningkat tiga kali ganda kepada RM135.26 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2022 berbanding RM41.52 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu terutamanya didorong harga gas, minyak dan kondensat yang lebih tinggi, sekali gus menyaksikan pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat kepada RM604.77 juta daripada RM246.69 juta.
Menurutnya, keputusan kewangan itu adalah dalam jangkaan merangkumi 25% daripada anggaran firma dan konsensus bagi tahun kewangan penuh berakhir 30 Jun 2023 (FY23).
"Keuntungan bersih meningkat tiga kali ganda tahun ke tahun disebabkan pengiktirafan jumlah jualan aset Fortuna International Petroleum Corp pada suku pertama FY23 termasuk Kinabalu Oil dan PM3CAA.
"Di samping itu, harga minyak mentah direalisasikan juga lebih tinggi dengan ketara bagi tahun ke tahun merentasi aset utama," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Untung bersih Hibiscus Petroleum bagi suku pertama FY23 meningkat kepada RM135.26 juta
Pada suku berkenaan, sebanyak 1.0 juta tong (MMbbl) minyak dan kondensat dan lebih 510,000 tong setara minyak (boe) gas telah dijual dengan masing-masing menyumbang sebanyak RM502.1 juta dan RM101.5 juta kepada jumlah pendapatan.
Paras harga minyak dan gas yang kukuh telah menyumbang secara positif kepada tahap keuntungan dalam semua aset pengeluar kumpulan di Malaysia dan United Kingdom (UK).
HLIB yang menjangkakan Hibiscus akan meraih keuntungan kira-kira RM541 juta pada FY23 mendapati terdapat beberapa perkara penting mengenai kumpulan, iaitu kejayaan penggantian aset Anasuria pada akhir September 2022 dan sasarannya untuk mencapai jumlah volum ambilan sebanyak 7.2 juta hingga 7.5 juta boe untuk FY23.
Katanya, jadual volum ambilan kumpulan untuk dua suku seterusnya ialah 2.1 juta boe dan 1.8 juta boe untuk suku kedua hingga ketiga dan berada dalam landasan untuk menjual kira-kira 7.2 juta hingga 7.5 juta boe pada FY23, berbanding RM4.6 juta pada FY22.
"Kami juga menekankan kumpulan itu kini sedang berbincang dengan Petronas dan PetroVietnam untuk melanjutkan lesen pengeluaran PM3CAA yang diperoleh baru-baru ini selama 10 tahun lagi, sehingga 2037.
“Jika diluluskan, Hibiscus menyasarkan untuk menggerudi lebih banyak telaga untuk aset itu pada 2024 hingga 2025.
"Kami mendapati bahawa projek minimum IRR untuk Hibiscus meneruskan lanjutan ini dan perbelanjaan tambahan ialah 15%," jelasnya.
Setakat 11.58 pagi ini, harga saham Hibiscus menokok 3.5 sen atau 3.52% kepada RM1.03 dengan 13.67 juta saham diniagakan. -DagangNews.com