Hilang kerja boleh pilih moratorium 3 bulan - BNM | DagangNews Skip to main content

Hilang kerja boleh pilih moratorium 3 bulan - BNM

 

 

KUALA LUMPUR 2 Jun - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengulangi bahawa semua peminjam yang pendapatannya berkurangan, termasuk gaji, elaun, komisen dan pendapatan isi rumah adalah layak untuk mendapatkan pengurangan ansuran bulanan berdasarkan pendapatan yang terjejas.

 

BNM, dalam beberapa ciapan di Twitter menerusi akaun @BNM_official, menjelaskan bagi bantuan bayaran balik pinjaman yang baru diumumkan, golongan B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup/Bantuan Prihatin Rakyat boleh memilih moratorium selama 3 bulan atau ansuran bulanan dikurangkan 50% selama 6 bulan.

 

“Peminjam individu yang hilang pekerjaan juga boleh memilih moratorium selama 3 bulan atau ansuran bulanan dikurangkan 50% selama 6 bulan,” katanya seperti dilapor Bernama.

 

Bank pusat juga menambah perusahaan mikro (dengan kemudahan yang diluluskan sehingga RM150,000) serta perusahaan kecil dan sederhana yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang perintah kawalan pergerakan boleh memilih moratorium selama 3 bulan atau ansuran bulanan dikurangkan 50% selama 6 bulan.

 

BNM meminta para peminjam menghubungi bank masing-masing untuk membuat pilihan tersebut.

 

Layari http://bnm.gov.my/RA untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai bantuan bayaran balik pinjaman.

 

Semalam, Kementerian Kewangan memberi jaminan kelulusan diberikan secara automatik bagi moratorium kepada peminjam yang layak yang mana terkesan oleh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menekankan bahawa bantuan yang diberikan bukan saja dalam bentuk moratorium, tetapi institusi perbankan juga telah menyediakan pakej khusus untuk peminjam yang terjejas. - DagangNews.com