Hilang pendapatan dapat RM500 mulai Oktober | DagangNews Skip to main content

Hilang pendapatan dapat RM500 mulai Oktober

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Kerajaan mengumumkan Bantuan Khas COVID-19 melibatkan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion yang dijangka memberi manfaat kepada 11 juta isi rumah termasuklah bagi individu warga emas dan bujang. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemberian bantuan ini melibatkan tiga kategori isi rumah diharapkan dapat membantu mereka berdepan tempoh mencabar ketika pandemik ini.

 

Katanya, bagi kategori isi rumah kategori miskin tegar, mereka akan menerima bantuan sebanyak RM500 mulai Ogos diikuti RM500 ringgit pada November dan seterusnya RM300 pada Disember. 

 

"Untuk individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 pada November," katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan petang ini bagi mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion.

 

Bagi kategori kedua iaitu isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember manakala bujang pula akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos.

 

"Bagi isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak RM250 manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 pada Ogos nanti," katanya. 

 

 

pemulih

 

 

Selain itu, kerajaan turut menyediakan Bantuan Kehilangan Pendapatan yang mana sebanyak RM500 akan disalurkan kepada pekerja yang hilang pendapatan berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). 

 

Katanya, bantuan ini akan diberikan mulai Oktober ini dijangka memanfaatkan sehingga 1 juta ahli melibatkan peruntukan sebanyak RM500 juta.

 

Menurut Perdana Menteri, semasa pengumuman Pemerkasa Plus pada 15 Jun lalu, kerajaan bersetuju memberi bayaran tambahan bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sehingga RM500 ringgit pada Julai dan bayarannya akan
dibuat secara berperingkat mulai esok, 29 Jun. 

 

Bagi BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 pula akan dibayar pada September nanti. 

 

"Pada September juga akan melibatkan bayaran ke atas kes-kes lulus rayuan BPR. Secara keseluruhannya, nilai BPR sehingga hujung tahun ini berjumlah RM4.9 bilion," katanya. 

 

Beliau berkata, kesemua pemberian tunai secara langsung ini adalah sebanyak RM10 bilion sehingga hujung tahun ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk meneruskan agenda prihatin rakyat.

 

"Dengan ketiga-tiga bantuan tunai ini, bagi setiap bulan bermula Jun sehingga Disember tahun ini, golongan yang memerlukan akan mendapat bantuan yang sewajarnya. 

 

"Saya berharap bantuan tunai ini dapat membantu saudara dan saudari untuk meneruskan kelangsungan hidup pada bulan-bulan mendatang," tambah beliau. - DagangNews.com