Hishammuddin hargai kepercayaan PM, galas tanggungjawab dengan sebaiknya | DagangNews Skip to main content

Hishammuddin hargai kepercayaan PM, galas tanggungjawab dengan sebaiknya

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri hari ini menghargai kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Mengulas ringkas berkaitan jawatan baharunya itu, beliau berkata, tanggungjawab tersebut akan digalas dengan sebaiknya.

 

"Terima kasih Perdana Menteri di atas kepercayaan melantik saya selaku Menteri Kanan Luar Negeri. Dengan pelantikan ini, saya akan mengetuai Kluster Keselamatan selain membantu Perdana Menteri dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara. 

 

"Saya sedar dan insaf, dalam berdepan pandemik #COVID19, tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar. InsyaAllah saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya," katanya dalam satu hantaran ringkas di laman Facebooknya hari ini.

 

Baca: Ismail Sabri Yaacob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri

 

Mengulas lanjut, Hishammuddin percaya, kerjasama daripada semua menjadi kunci utama untuk keluar daripada krisis semasa.

 

"Saya juga percaya, hanya dengan stabiliti, kesatuan dan kerjasama daripada semua pihak, kita mampu keluar daripada krisis ini bersama-sama.

 

"Percayalah, apa jua jawatan dan kedudukan yang diamanahkan, pendirian saya tetap sama - hanya mahu bekerja demi rakyat dan negara dengan seikhlas hati. Saya berdoa, semoga Allah SWT meredhai ketentuan ini. Amin Ya Rabbal Alamin," tambah beliau lagi.

 

Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

 

Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula telah dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri. 

 

Sebagai Menteri Kanan, beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh Datuk Seri Ismail Sabri.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri bersetuju supaya Datuk Seri Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN). - DagangNews.com