HLIB hentikan liputan ke atas saham Lagenda Properties kerana pengagihan semula sumber dalaman | DagangNews Skip to main content

HLIB hentikan liputan ke atas saham Lagenda Properties kerana pengagihan semula sumber dalaman

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menghentikan liputan ke atas saham Lagenda Properties Berhad disebabkan pengagihan semula sumber dalaman.

 

Firma itu berkata, saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.61 tidak lagi boleh digunakan sebagai rujukan untuk masa hadapan.

 

Lagenda Properties merekodkan pendapatan suku tahun yang lemah disebabkan kekurangan tenaga kerjaa yang memberi kesan kepada kemajuan projek selain pengurangan inventori projek yang telah siap (RM21 juta pada 3QFY22) bagi menyokong jualan kumpulan.

 

Katanya, terdapat juga ketidakpadanan sementara dalam hasil dan kos apabila kumpulan itu meningkatkan pengambilan pekerja sejak 2QFY22 sebagai persediaan untuk pelancaran perbandaran baharu tetapi perbandaran Sungai Petani baharu hanya dilancarkan pada Oktober 2022.

 

"Kami menjangkakan kumpulan itu merekodkan keputusan yang lemah bagi suku tahun akan datang berdasarkan sebab-sebab yang dinyatakan dan pelancaran perbandaran baharu akan menyaksikan sumbangan margin keuntungan yag rendah pada fasa awal pelancaran.

 

"Bagaimanapun, keadaan itu akan diimbangi sebahagiannya dengan pelancaran dari perbandaran matang di Perak.

 

"Bagi FY23, kumpulan itu sepatutnya melihat peningkatan pendapatan berikutan keadaan tenaga kerja menjadi semakin baik selain ketiadaan Cukai Makmur," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, hasil kumpulan itu meningkat sebanyak 8.1% didorong peningkatan jualan bagi unit yang telah siap.

 

Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) menurun sebanyak 12.4% kesan daripada kos pegurusan yang tinggi (+53.2%) dan perbelanjaan pemasaran yang turut meningkat iaitu 52.5%. - DagangNews.com