HLIB jangka kekurangan pendapatan sektor kesihatan diimbangi pertambahan jumlah pesakit | DagangNews Skip to main content

HLIB jangka kekurangan pendapatan sektor kesihatan diimbangi pertambahan jumlah pesakit

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor penjagaan kesihatan.

 

Firma itu berkata, walaupun pendapatan berkaitan COVID-19 akan terus menurun pada 2H22 namun ia akan diimbangi dengan peningkatan jumlah  pesakit yang disokong oleh permintaan tinggi daripada pesakit domestik dan luar negara.

 

Katanya, jumlah pesakit dijangka mencatatkan trajektori pemulihan selepas mengambil kira jumlah pesakit yang dilaporkan pada 1QFY22 adalah antara 16% hingga 19% dan ia masih di bawah paras sebelum COVID-19.

 

"Kuasa mengawal harga menjadi kunci utama kepada pengendali hospital untuk mengharungi tempoh inflasi yang tinggi dan kami tidak menjangkakan kenaikan kos akan memberi kesan yang ketara kepada keuntungan mereka.

 

"Secara keseluruhan, kami menggemari sektor ini kerana memiliki daya tahan yang tinggi dan kuasa dalam menentukan harga. Pilihan utama kami dalam sektor ini adalah IHH Healthcare Berhad (beli; harga sasaran (TP): RM7.75)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, firma itu berkata, Pharmaniaga Berhad masih belum melihat sebarang kesan ke atas bekalan dan kos bahan farmaseutikal aktif (API) setakat ini kerana kebiasaannya kumpulan itu memiliki bekalan sehingga tempoh enam bulan.

 

Katanya, pergerakan mata wang juga dilihat tidak akan memberi impak besar kepada kos API kerana kedudukan lindung nilai boleh membantu mengurangkan kesan perkara itu.

 

"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati sekiranya berlaku sebarang peningkatan kos keraa kumpulan itu hanya boleh mengurangkan kesan itu dengan meningkatkan kecekapan secara keseluruhan.

 

"Selepas pembukaan semula sektor ekonomi, kami menjangkakan berlakunya peningkatan untuk farmaseutikal termasuk peningkatan kehadiran orang ramai ke pusat penjagaan kesihatan dan risiko peningkatan jangkitan dalam kalangan orang ramai di pejabat serta sekolah," katanya. - DagangNews.com