HLIB kekal 'neutral' terhadap sektor pembinaan didorong tekanan margin, kekurangan tenaga kerja | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal 'neutral' terhadap sektor pembinaan didorong tekanan margin, kekurangan tenaga kerja

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor pembinaan dan kekal berhati-hati akibat risiko pelaksanaan yang berterusan, tekanan margin keuntungan selain kekurangan tenaga pekerja. 

 

Firma itu berkata, kenaikan harga bahan binaan memberi impak kepada margin keuntungan syarikat selain risiko-risiko lain yang berkemungkinan berlaku pada 2H22.

 

"Kami menjangkakan pendapatan sektor ini akan pulih pada tahun ini tetapi bimbang dengan keadaan tenanga pekerja yang dilihat masih kurang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, berdasarkan kepada pendapatan 1QFY22, margin keuntungan sesetengah kontraktor mencatatkan penurunan ketara.

 

Katanya, dengan mengambil kira tekanan kos yang berterusan, firma itu menjangkakan masalah itu akan berterusan.

 

Memandangkan tekanan kos yang berterusan, firma itu menjangkakan syarikat akan terus berhadapan tekanan margin pada masa akan datang.

 

"Sesetengah kontrak sektor swasta mempunyai klausa perkongsian risiko manakala kontrak sektor awam mempunyai lebih fleksibiliti bagi membendung kesan kenaikan harga bahan mentah.

 

"Bagaimanapun, kami percaya kontrak yang disediakan adalah berdasarkan kadar tetap," katanya.

 

Sementara itu, firma itu bimbang terhadap bekalan tenaga pekerja asing yang dilihat masih kurang selain pertambahannya di pasaran pekerja sangat perlahan.

 

"Kami percaya, keadaan ini akan memberikan lebih tekanan keranan kadar buruh dilihat semakin meningkat dengan gaji melebihi RM1,500 sebulan sejak tahun lalu.

 

"Keadaan itu akan memberikan lebih cabaran kepada pelancaran MRT3 memandangkan ia merupakan projek berskala besar," katanya. - DagangNews.com