KUALA LUMPUR 21 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research kekal positif dengan unjuran pendapatan Axis REIT, didorong oleh pemerolehan tiga hartanah baharu pada FY22 selain lima hartanah pada FY21.
Firma itu berkata, Axis REIT menganggarkan nilai pemerolehannya pada FY22 sebanyak RM120 juta dengan fokus diberikan kepada kemudahan logistik dan pembuatan berkualiti dengan tempoh pajakan panjang daripada penyewa menerusi perjanjian yang kukuh.
"Selain itu, ia turut didorong oleh gudang runcit yang terletak di lokasi yang sesuai untuk pengedaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma berkata, pendapatan sewa kasar meningkat 8.8%, hasil sumbangan daripada hartanah yang baru diperolehnya iaitu Gudang Logistik DW1 pada 25 April 2022.
Bagaimanapun, perbelanjaan hartanah mereka dilihat lebih tinggi iaitu pertambanhan sebanyak 12.8% disebabkan peningkatan kos penyelenggaran.
BACA JUGA: Axis REIT catat kenaikan 38.8% pendapatan bersih direalisasikan kepada RM42.9 juta
"Jumlah perbelanjaan amanah meningkat 4.7% disebabkan oleh peningkatan dalam kos pembiayaan Islam (untuk membiayai pemerolehan baharu) pertambahan 19.3% tetapi diimbangi oleh perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah sebanyak 4.2% serta pendapatan faedah yang lebih tinggi sebanyak 2.9%.
"Pendapatan bersih bertambah baik dengan kadar yang lebih perlahan sebanyak 8.1%," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.08 selaras dengan peningkatan populariti hartanah industri.
Selain itu, ia juga didorong oleh kadar penyewaan penghuni yang tinggi dalam portfolio yang pelbagai dan merupakan antara yang mematuhi syariah. - DagangNews.com