HLIB kekal saranan 'overweight' terhadap sektor utiliti, TNB neutral daripada kenaikan harga tenaga | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal saranan 'overweight' terhadap sektor utiliti, TNB neutral daripada kenaikan harga tenaga

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor utiliti dengan menjangkakan permintaan bagi tenaga elektrik dan gas akan meneruskan trend pemulihan pada tahun ini.

 

Dalam nota kajian, penganalisisnya, Daniel Wong berkata, harga tenaga bahan api global kembali menurun selepas mencecah paras tertinggi pada Oktober, sekali gus mengukuhkan pandangannya mengenai lonjakan jangka pendek dan normalisasi pada 2022 selepas musim sejuk.

 

Katanya, pada masa sama, harga gas domestik juga masih stabil pada RM32.72/mmBtu (Oktober 2021) dan tidak mengalami turun naik harga dengan lonjakan harga gas asli cecair (LNG) global.  

 

"Kami menjangkakan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) kekal neutral daripada kenaikan harga tenaga baru-baru ini (kecuali untuk kesan aliran tunai jangka pendek disebabkan ketidakpadanan kesesuaian masa). 

 

"Bagi Petronas Gas Bhd. dan YTL Power International Bhd. pula, masing-masing tidak terjejas secara langsung dengan kos bahan api," katanya hari ini. 

 

Selepas harga arang batu mencapai paras tertinggi pada Oktober, ia kembali menurun apabila China bertindak tegas terhadap stok arang batu dan pedagang spekulatif, manakala pengeluaran meningkat di peringkat global. 

 

Harga spot arang batu menurun kepada AS$150 satu tan metrik (RM600) daripada setinggi AS$250 satu tan metrik (RM1,000). 

 

Kerajaan juga telah mengumumkan lanjutan Tempoh Regulatori Kedua (RP2) pada 2022, dengan purata tarif efektif pada 37.45sen/kwj untuk separuh pertama 2022, menunjukkan TNB menerima pampasan daripada kerajaan untuk kos bahan api yang lebih tinggi yang ditanggung pada separuh kedua 2021.

 

Dalam pada itu, bagi mengurangkan pelepasan karbon sehingga 45% menjelang 2030 untuk mencapai karbon neutral pada 2050, kerajaan akan mempercepatkan program tenaga boleh diperbaharui (RE) dan mengurangkan kebergantungan kepada loji jana kuasa arang batu dari semasa ke semasa.

 

Menurut Wong, campuran RE yang lebih tinggi akan mengurangkan kesan keseluruhan turun naik harga bahan api tenaga global kepada tarif elektrik Malaysia. 

 

"Bagaimanapun, dasar campuran RE yang lebih tinggi ini juga akan menimbulkan risiko kemampanan kepada pemain penjanaan kuasa yang besar. 

 

"Ini kerana mereka berdepan dengan pasaran yang semakin kompetitif bagi menggantikan portfolio loji jana kuasa yang akan tamat tempoh (terutamanya arang batu)," jelasnya. 

 

TNB sebelum ini telah menyatakan komitmen ke arah karbon neutral menjelang 2050 sejajar dengan dasar kerajaan manakala YTL Power pula merancang untuk memulakan projek solar berskala besar (LSS) yang pertama dengan kapasiti 500MW di Malaysia.    

 

Petronas Gas juga sedang meneroka peluang bagi loji kogenerasi baharu dan pada masa sama, mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan LNG atau gas sebagai sumber tenaga yang lebih bersih di Malaysia.

 

Secara keseluruhan, HLIB mengulangi saranan 'beli' terhadap TNB, YTL Power dan Petronas Gas dengan harga sasaran masing-masing pada RM13.60, 85 sen dan RM19. - DagangNews.com