HLIB kekal unjuran TIV pada paras 700,000 unit didorong jumlah pesanan yang tinggi, pelancaran model baharu | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal unjuran TIV pada paras 700,000 unit didorong jumlah pesanan yang tinggi, pelancaran model baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan jangkaan jumlah keseluruhan industri (TIV) 2023 pada paras 700,000 unit, disokong oleh jumlah pesanan industri yang tinggi melebihi 300,000 unit dan pelancaran model baharu yang menarik.

 

Firma itu berkata, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini telah menyemak semula jangkaan TIV 2023 mereka kepada 725,000 unit daripada 650,000 unit.

 

"MAA melaporkan TIV Jun yang lebih perlahan pada 61,200 unit, menunjukkan penurunan bulan ke bulan sebanyak 4.2% dan tahun ke tahun sebanyak 1.8% berikutan normalisasi selepas tamat jualan dasar pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

 

"Namun begitu, TIV masih mencatatkan pertumbuhan 10.3% kepada 366,000 unit berikutan kesan asas yang rendah kerana tempoh yang sama tahun lepas terjejas oleh banjir di Shah Alam dan kekurangan rantaian bekalan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Walaupun jangkaan TIV kukuh untuk tahun ini, firma itu masih mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor itu, kerana ia menjangkakan TIV akan turun selepas memenuhi pesanan tertunggak besar semasa sebanyak 300,000 unit.

 

Firma itu juga menasihatkan pelabur untuk memilih MBM Resources Berhad dan DRB-Hicom Berhad, kerana menjangkakan pengeluar peralatan asli (OEM) negara akan berjaya dalam jangka panjang dengan potensi pertumbuhan daripada pasaran eksport baharu.

 

“Kedua-dua OEM negara terus menerajui pasaran dengan 61.3% bahagian pasaran pada separuh pertama 2023 berbanding 58% pada 2022 dan 59.4% pada 2021.

 

"Baru-baru ini kami telah melihat pemain kenderaan elektrik (EV) baharu memasuki pasaran dengan harga yang menarik, seperti Tesla, BYD, Haval, Netta dan Chery, yang mungkin menimbulkan memberikan tekanan kepada OEM bukan nasional semasa," katanya. - DagangNews.com