Lunas, PT PAL meterai MoU dalam bidang pembinaan kapal | DagangNews Skip to main content

Lunas, PT PAL meterai MoU dalam bidang pembinaan kapal

PT PAL mempunyai keupayaan dalam pembinaan kapal MRSS seperti yang diinginkan TLDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 7 Mei - Lumut Naval Shipyard (Lunas) dan PT PAL Indonesia (PT PAL) telah meterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama strategik dalam bidang pembinaan kapal.

 

Kerjasama ini bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama antara kedua-dua pihak pada masa hadapan.

 

Selain itu, kerjasama ini turut menggalakkan perkongsian pengetahuan dan kemajuan teknologi serantau.

 

 

MoU tersebut telah dimeterai pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 di sini.

 

Kapal
Shahrazat (tiga dari kanan) bersama Wilgo dan Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Rahman Ayob (dua dari kanan) selepas memeterai MoU dalam bidang pembinaan kapal.

 

 

Ia ditandatangani antara Pengarah Pemasaran PT PAL, Wilgo Zainar dan Datuk Dr Shahrazat Ahmad yang mewakili Lunas. 

 

Walaupun tidak dinyatakan tetapi MoU tersebut dipercayai bagi kerjasama untuk pembinaan kapal sokongan pelbagai fungsi (MRSS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Ini merupakan penyertaan kali pertama Lunas dalam pameran pertahanan setelah penjenamaan semula Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) TLDM.

 

Justeru, MoU antara Lunas dan PT PAL ini menunjukkan komitmen syarikat tersebut untuk mengambil peranan dalam pembangunan aset baharu TLDM.

 

Kapal
Delegasi TLDM semasa melakukan lawatan ke atas kemudahan pembinaan kapal PT PAL di Indonesia.

 

Bagi PT PAL pula, MoU ini dilihat sebagai meneruskan usaha bagi menawarkan kapal MRSS kepada TLDM seperti yang pernah dibuat sejak lima tahun lalu.

 

PT PAL menawarkan kapal kelas Makassar seberat 12,000 tan sebagai pilihan bagi kapal MRSS TLDM.

 

Pemilihan PT PAL sebagai rakan strategik tepat memandangkan kemampuan syarikat tersebut dalam teknologi pembinaan kapal. 

 

Tentera Laut Filipina juga memilih kapal kelas ini apabila PT PAL Indonesia memenangi kontrak perolehan dua buah kapal kelas Tarlac pada tahun 2013 yang kini telah pun disiapkan.

 

Operasi ketenteraan selain peperangan (MOOTW) ini menjadi sebab mengapa kapal sokongan logistik perlu ada pada sesebuah angkatan laut seperti TLDM.

 

Kapal
Kapal MRSS diperlukan termasuk untuk operasi selain ketenteraan dan misi kemanusiaan.

 

Kementerian Pertahanan (Mindef) pada Oktober lalu memutuskan perolehan MRSS akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang bermula pada tahun 2026. 

 

Ini kerana fokus TLDM ketika kini ialah bagi program LCS dan perolehan kapal misi pesisir (LMS) Batch 2. 

 

Dokumen strategi Program Transformasi Armada TLDM 15 to 5 telah memperincikan rancangan perolehan 3 buah kapal MRSS ini dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Ke-13. 

 

Bagaimana pun, keperluan terhadap aset MRSS telah ditekankan oleh kepimpinan TLDM baru-baru ini yang digariskan menerusi Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform).

 

Turut ditekankan ialah pembelian kapal selam baharu dan pada masa sama meneruskan program LCS dan LMS. - DagangNews.com