KUALA LUMPUR 17 Nov - Kobay Technology Bhd. menjangkakan momentum pertumbuhan sektor pembuatannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) akan lebih perlahan berbanding tahun sebelumnya ekoran kelembapan ekonomi global, demikian menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Ini berdasarkan kepada pendapatan suku pertama yang lebih lemah, susut 6% suku ke suku kepada RM89 juta ekoran penurunan segmen pembuatan, lebih daripada mencukupi untuk mengimbangi keuntungan dalam segmen farmaseutikal manakala segmen pembangunan hartanah tidak berubah.
Pada suku berkenaan, segmen tersebut merekodkan kontrak baharu yang lebih perlahan dengan segmen minyak dan gas (O&G) mencatat prestasi lebih rendah.
Sebaliknya, keuntungan bersih teras jatuh sebanyak 18% kepada RM11 juta terutamanya disebabkan oleh kos persediaan yang tinggi daripada kilang pembuatan baharu.
Menurut HLIB, kumpulan akan terus mengekalkan permintaan sedia ada daripada pelanggan dalam industri elekrik dan elektronik (E&E).
"Namun, ia akan memperluaskan lagi segmen ini dengan pendedahan pelanggan kepada perniagaan berkaitan tenaga boleh diperbaharui (RE), bagi merasionalkan lagi penglibatannya dan menambah baik struktur kos keseluruhan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada suku pertama berakhir 30 September 2022, keuntungan bersih Kobay meningkat 8.18% tahun ke tahun kepada RM10.52 juta berbanding RM9.72 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan meningkat 35.24% kepada RM89.9 juta daripada RM66.14 juta.
Prestasi lebih baik itu disokong segmen pembangunan hartanah dan perniagaan penyewaan hartanahnya, selain bahagian farmaseutikal dan penjagaan kesihatan. Bagaimanapun, segmen pembuatannya menghadapi kos praoperasi yang lebih tinggi untuk perniagaan baharu.
Firma itu berkata, segmen hartanah kumpulan dijangka merekodkan pestasi yang positif setelah Kobay selesai menyiapkan projek sulungnya di Langkawi.
"Memandangkan kos bahan binaan dan pinjaman semakin meningkat, Kobay akan mengambil langkah untuk mengurangkan kesan dan mempercepatkan pelancaran baharu mengikut permintaan pasaran.
"Segmen farmaseutikal pula akan terus berusaha memperluaskan rangkaian produknya, bersama-sama dengan usaha kawalan kos untuk meningkatkan keuntungan dan daya saing pasaran," jelasnya.
Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan saranan 'beli' terhadap Kobay dengan harga sasaran tidak berubah pada RM4.94 sesaham.
Setakat 10.57 pagi ini, harga sahamnya susut 6 sen atau 2.17% kepada RM2.70 dengan 220,900 saham diniagakan. - DagangNews.com