HLIB mulakan liputan terhadap Sime Darby Property dengan saranan 'beli', TP 78 sen | DagangNews Skip to main content

HLIB mulakan liputan terhadap Sime Darby Property dengan saranan 'beli', TP 78 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Feb - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research memulakan liputan terhadap Sime Darby Property Bhd. dengan saranan 'beli' pada  harga sasaran (TP) pada 78 sen. 

 

Firma itu melihat Sime Darby Property mempunyai pendedahan kepada pembangunan bandar terancang dengan akses yang baik dan memiliki bank tanah yang besar seluas 20,000 ekar.

 

Penganalisisnya, Nazira Abdullah berkata, kumpulan kini merupakan syarikat hartanah tersenarai yang terbesar di Malaysia dari segi bank tanah yang mana daripada jumlah itu, sebanyak 13,300 ekar terletak di 24 kawasan pembangunan bandar yang aktif di Lembah Klang dengan anggaran nilai pembangunan kasar berjumlah RM89.3 bilion.

 

Katanya, di sebalik prospek pasaran hartanah yang kurang memberangsangkan dalam tempoh terdekat, bank tanah kumpulan berada dalam kedudukan kukuh untuk meraih semula permintaan apabila pasaran kembali pulih. 

 

"Ini kerana kebanyakan bank tanah ini akan mendapat manfaat daripada jarak yang dekat dengan kawasan bandar yang dibangunkan, kawasan komersial dan koridor pertumbuhan dari Lembah Klang hingga Negeri Sembilan dan Johor dan berada di lokasi strategik dengan akses kepada lebuh raya utama.

 

"Selain itu, kami turut menyukai Sime Darby Property kerana strategi pengewangan tanah dapat mempercepatkan perolehan bank tanah dan kedudukan imbangan tunai yang sihat dengan gearan bersih 0.32x," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

sime darby property
Sime Darby Property kini merupakan syarikat hartanah tersenarai yang terbesar di Malaysia dari segi bank tanah.

 

 

Sime Darby Property meletakkan sasaran untuk mencapai aliran pendapatan berulang sebanyak 30% (di tahap pendapatan bersih kumpulan) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempelbagaikan perniagaan dan memperluaskan aliran pendapatan menjangkaui pembangunan hartanah dengan muncul sebagai syarikat pemaju hartanah yang mampan menjelang 2025.

 

Kadar pengambilan bagi segmen pelaburan hartanah juga mencatat prestasi yang baik dengan 9 hartanah miliknya bernilai RM1.7 bilion pada purata penghunian antara 75 hingga 80%. 

 

Walaupun bekalan pasaran pejabat masih tepu, tetapi Sime Darby Property terus mencapai kadar pengambilan yang baik (purata 90% pada tahun kewangan 2020) kerana bangunannya terletak di kawasan yang strategik dan disokong penyewa utama tunggal.

 

Bagi meningkatkan lagi sumber pendapatan berulang, kumpulan turut merancang memperluaskan pembangunan kepada perindustrian dan logistik menerusi model built-to-suit berbanding menjual terus sebidang tanah atau produk yang telah siap. 

 

Baru-baru ini, kumpulan telah memeterai perjanjian pemegang saham dengan Logos Property Group untuk membangunkan syarikat usaha sama dengan pegangan 51:49 dengan komitmen sasaran modal berjumlah RM850 juta daripada pelabur institusi dan bertauliah.

 

Nazira menyifatkan langkah yang dilaksanakan Sime Darby Property itu adalah strategik dalam usaha menyalurkan bank tanahnya dalam sektor yang berkembang dan bekerjasama dengan pemain antarabangsa terkemuka yang merupakan pemaju logistik terkemuka dan pakar hartanah di rantau Asia Pasifik.

 

Sehubungan itu, beliau mengunjurkan kumpulan akan merekodkan untung bersih teras bagi tahun kewangan 2021 (FY21) sebanyak RM122.6 juta diikuti RM241.9 juta (FY22) dan RM291.7 juta (FY23). 

 

"Peningkatan mendadak dalam ramalan untung bersih teras bagi FY21 (51.2% tahun ke tahun) berbanding FY20 ini didorong sebahagian besarnya kesan asas yang rendah daripada pemulihan bayaran yang progresif dan jualan yang lebih baik dicapai. 

 

"Pembayaran progresif daripada pelancaran hartanah selepas sekatan pergerakan (sasaran pelancaran RM3.8 bilion pada 2021) akan menyokong pendapatan pada masa akan datang," jelasnya.

 

Setakat 10.27 pagi ini, harga saham Sime Darby Property menokok 1 sen atau 1.68% kepada 60.5 sen dengan 606,100 saham diniagakan. - DagangNews.com