HLIB naikkan harga sasaran Dayang kepada RM1.26 dengan saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

HLIB naikkan harga sasaran Dayang kepada RM1.26 dengan saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Sept - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak naik harga sasaran Dayang Enterprise Holdings Bhd. kepada RM1.26 berbanding RM1.19 sesaham sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'beli'. 

 

Sejajar dengan semakan itu, ia menaikkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 14%, 8% dan 12%. 

 

Prestasi lebih baik itu terutamanya mengambil kira anggaran margin keuntungan yang lebih tinggi bagi subsektor perkhidmatan bersepadu 'hook-up and commissioning' (i-HUC) dan sektor penyelenggaraan, pembinaan dan modifikasi (MCM) bagi 2022.

 

"Memandangkan kami melihat Dayang sebagai peneraju pasaran untuk aktiviti i-HUC/MCM, kami yakin kumpulan akan menjadi penerima manfaat utama daripada perkembangan positif dalam industri minyak dan gas (O&G)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Ini berikutan prospek bagi kapal sokongan luar pesisir (OSV) dijangka lebih baik bagi tahun ini dengan 336 kapal sokongan akan disewa sepanjang tahun berbanding 289 kapal sokongan pada 2021.

 

Selain itu, Petronas juga menyatakan terdapat permintaan yang konsisten untuk kapal yang menyokong operasi pengeluaran dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan panduan perbelanjaan modal (capex) dinaikkan kepada RM60 bilion (daripada RM40 hingga RM45 bilion sebelum ini).

 

Pada masa sama, penggunaan i-HUC dan MCM dijangka lebih tinggi tahun ini (HUC : 6.3, MCM : 11.5) berbanding 2021 (HUC: 4.7, MCM: 8.5).

 

Malah, HLIB turut mendapati, kadar sewaan harian OSV telah meningkat kira-kira 10% hingga 15% tahun ke tahun memandangkan tidak banyak kapal baharu dalam pasaran dalam tempoh enam hingga tujuh tahun lalu. 

 

Keadaan ini disebabkan kebanyakan syarikat OMS telah keluar sepenuhnya daripada industri manakala yang lain sudah bankrap berikutan persekitaran harga minyak yang lemah sejak 2015 hingga 2020.

 

"Berdasarkan taklimat dengan kumpulan, kami difahamkan kadar penggunaan gabungan kumpulan akan terus meningkat pada suku ketiga kepada 75% (daripada 66% pada suku kedua).

 

"Dayang menyasarkan untuk mencapai sasaran antara 60% hingga 65% bagi keseluruhan FY22 (berbanding 44% pada FY21)," jelasnya.

 

Dalam pada itu, HLIB berkata, ketidaktentuan berkaitan COVID-19 semakin berkurangan tahun ini, sekali gus membolehkan kumpulan melaksanakan kontraknya dengan lebih cekap. 

 

"Nilai kontrak semasa kumpulan sebanyak RM1.8 bilion, akan memberi pendapatan kepada Dayang sehingga akhir FY23 manakala nilai tendernya pula berjumlah RM800 juta," katanya.

 

Setakat 11.15 pagi, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.88% kepada RM1.15 dengan 2.11 juta saham diniagakan. - DagangNews.com