HLIB naikkan TP Frontken, kekal saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

HLIB naikkan TP Frontken, kekal saranan 'beli'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 5 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengulangi saranan 'beli' ke atas saham Frontken Corp Bhd. dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM4.15 berbanding RM3.88 sebelum itu. 

 

Keyakinan ini didorong oleh prospek pasaran global semikonduktor yang kukuh dan juga imbangan tunai kumpulan yang mantap dalam menyokong usaha pengembangannya di Taiwan. 

 

Malah, firma itu juga mendapati, kedudukan tunai bersih kumpulan adalah sebanyak RM282 juta atau 18 sen sesaham.

 

Menurut HLIB, pertumbuhan hasil dan pendapatan bersih kumpulan sebahagian besarnya dipacu oleh perniagaan semikonduktor menerusi perniagaan minyak dan gas (O&G) yang menyaksikan peningkatan kukuh.

 

Katanya, Ares Green Technology Corp (AGTC) telah melengkapkan pemerolehan bangunan (Loji 2) yang terletak di Taman Sains Taiwan Selatan, Bandar Kaohsiung pada 9 Julai lalu untuk menyokong pengembangan agresif pelanggan utama. Ia dijangka dimulakan pada separuh kedua tahun depan.

 

"Oleh itu, kami terus menyukai saham Frontken kerana pendedahan uniknya kepada rantaian bekalan termaju semikonduktor," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Frontken dan anak syarikatnya terlibat dalam menyediakan penyelesaian kejuruteraan permukaan dan mekanikal serta pelbagai industri berat seperti O&G, penjanaan kuasa, semikonduktor dan marin.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, Frontken merekodkan untung bersih sebanyak RM27.3 juta, meningkat 27.94% daripada RM21.34 juta tahun sebelumnya didorong oleh pendapatan lebih tinggi menerusi perniagaan semikonduktor dan juga O&G.

 

Pendapatan pada suku berkenaan juga meningkat 23% kepada RM116.59 juta daripada RM94.79 juta terutamanya menerusi sumbangan anak syarikat di Taiwan dan Malaysia.

 

Setakat 12.08 tengah hari ini, harga sahamnya menokok 13 sen atau 3.4% kepada RM3.95. - DagangNews.com