Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'Neutral'nya terhadap sektor pembinaan dengan Sunway Construction Group Bhd (SunCon) dan Kimlun Corp Bhd sebagai pilihan utamanya.
Firma penyelidikan itu berkata, ketidakstabilan pilihan raya yang semakin hampir boleh menjejaskan sentimen sektor dengan pelabur menggunakan pendekatan tunggu dan lihat.
“Aliran berita terkini mengenai projek kritikal seperti MRT3 adalah menggalakkan tetapi kami tetap berhati-hati pada garis masa dan pelaksanaan pendapatan keseluruhan sektor di tengah-tengah penyebaran virus yang berterusan," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
HLIB berkata anugerah kontrak domestik pada 4Q21 berjumlah RM6.3bilion, (54% QoQ, 169% YoY) 2021 menunjukkan sumbangan yang lebih kukuh daripada projek air, rumah mampu milik, solar dan jalan raya manakala projek daripada sektor swasta kekal mendatar.
Melangkah ke hadapan, HLIB berkata, pihaknya dengan berhati-hati menjangkakan untuk melihat aliran kontrak bertambah baik secara beransur-ansur apabila Malaysia secara perlahan-lahan memasuki peringkat endemik.
"Jangkaan kami adalah untuk pemulihan dalam peluang sektor swasta dan pelancaran berterusan projek sedia ada seperti ECRL, untuk menyokong aliran kerja pada 2022,” kata HLIB.
Ia juga menantikan pelancaran Metro Sarawak yang berharga RM6 bilion.
Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan kadar faedah rendah yang meningkatkan jualan hartanah pada 2021, boleh menyaksikan peningkatan dalam penganugerahan kontrak sektor swasta, memandangkan kelewatan pemberian berulang pada 2021.
“Di bahagian sektor awam, perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi memberi petanda yang baik untuk persekitaran tender am walaupun dengan ketiadaan projek besar baharu.
"Pelaksanaan projek mega sedia ada juga harus terus memberikan peluang secara terpilih kepada kontraktor tetapi kami ambil perhatian bahawa kebanyakan pakej di bawah projek sedia ada telah ditender dan oleh itu memberi kesan terhad kepada prospek pendapatan sektor," tambahnya. -DagangNews.com