HLIB unjur jualan keseluruhan kenderaan kembali normal pada paras 720,000 unit tahun ini | DagangNews Skip to main content

HLIB unjur jualan keseluruhan kenderaan kembali normal pada paras 720,000 unit tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Feb - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research  mengunjurkan jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) kembali normal pada paras 720,000 unit tahun ini.

 

Katanya, TIV Januari 2024 bermula sihat pada 65,500 unit didorong pesanan tertunggak sedia ada, rantaian bekalan yang bertambah baik, pelancaran model baharu yang menarik serta permintaan kukuh yang berterusan. 

 

"Bagaimanapun, TIV dilihat kembali normal selepas mencapai rekod tertinggi baharu sebanyak 799,600 unit pada 2023, terutamanya disebabkan oleh penyusutan pesanan tertunggak.

 

"Selain itu tempahan baharu juga dijangka perlahan dalam beberapa bulan akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, masih terdapat potensi peningkatan daripada pelancaran model baharu yang menarik pada akhir 2023 dan 2024, jualan yang lebih agresif serta aktiviti pemasaran untuk mengekalkan jualan oleh pelbagai pengeluar peralatan asli (OEM).

 

"Kerajaan juga telah menetapkan 2025 sebagai sasaran OEM nasional bagi memperkenalkan model kenderaan elektrik (EV) mampu milik baharu," katanya.

 

Walaupun tunggakan pesanan berjaya mengekalkan angka TIV pada suku pertama tahun ini, HLIB berkata, ia akan berkurang pada suku berikutnya sebelum kembali normal menjelang akhir tahun.

 

Mereka menjangkakan pendapatan bagi sektor itu susut pada 2024 disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah dan kos operasi yang lebih tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' kami terhadap sektor automotif dengan DRB Hicom Bhd dan MBM Resources Bhd menjadi pilihan utama kami kerana kelebihan mereka dalam segmen OEM nasional.

 

"Ia termasuk Proton dan Perodua, yang mempunyai jumlah jualan yang lebih mampan dan potensi pertumbuhan eksport dalam tempoh yang lebih lama," katanya.- DagangNews.com