Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Nov - Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research) menjangkakan margin pendapatan bersih (NIM) Maybank Indonesia akan kekal stabil memandangkan Bank Indonesia telah menghentikan kitaran pelonggaran monetarinya dan memilih untuk menggunapakai dasar lain untuk meningkatkan permintaan domestik.
Bank pelaburan itu berkata, selain itu, aktiviti penyahrisiko pinjaman dan profil semula kemungkinan akan menghalang NIM Maybank Indonesia nya daripada melebar.
"Bagi pertumbuhan pinjaman, kami melihat pemulihan dalam tempoh 6-9 bulan akan datang.
"Selain itu usaha penstrukturan semula pinjaman akan membantu mengehadkan kemerosotan ketara dalam nisbah jumlah pinjaman tidak berbayar (NPL) memandangkan Otoritas Jasa Kewangan (agensi kerajaan yang mengawal selia dan menyelia sektor perkhidmatan kewangan) telah melanjutkan program penstrukturan semula pinjaman sehingga 23 Mac untuk menyokong peminjam yang bermasalah," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Maybank Indonesia, Tbk. mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) pada Rp1.48 trilion, meningkat 2.1% daripada Rp1.45 trilion dalam tempoh yang sama tahun lepas disebabkan oleh peruntukan yang lebih rendah, penurunan kos dana dan kos overhed.
Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) Bank merosot 3.3% dalam sembilan bulan pertama 2021 kepada Rp1.06 trilion daripada Rp1.10 trilion pada tempoh yang sama tahun lalu disebabkan oleh pelarasan penilaian cukai hasil daripada perbelanjaan cukai tertunda.
Maybank Indonesia telah mengambil langkah konservatif, sejak 2020, untuk mengetepikan peruntukan bagi akaun, merentas semua segmen perniagaan, yang terjejas oleh persekitaran ekonomi yang mencabar.
Bank juga meneruskan usahanya untuk membantu pelanggan yang menghadapi cabaran dan memberi tumpuan kepada penstrukturan semula kredit bagi menjaga kualiti aset.
BACA JUGA : Maybank Indonesia catat peningkatan perolehan 21% kepada 148 trilion rupiah
HLIB Research berkata, prestasi kewangan yang direkodkan Maybank Indonesia adalah selaras dengan anggaran yang dibuat sebelum ini.
"Justeru itu kami mengekalkan saranan 'Beli' ke atas saham Maybank dengan harga sasaran tidak berubah pada RM9.40," katanya. -DagangNews.Com