HMAV Tarantula belum berjaya pikat Mindef, mungkin bakal terima nasib dengan kenderaan perisai AV4 | DagangNews Skip to main content

HMAV Tarantula belum berjaya pikat Mindef, mungkin bakal terima nasib dengan kenderaan perisai AV4

HMAV Tarantula masih belum berjaya menembusi pasaran tempatan.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

SEMASA dilancarkan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2006 di Subang, Selangor 18 tahun lalu, kenderaan perisai AV4 mendapat liputan meluas media dalam dan luar negara.

 

Diumumkan sebagai kenderaan perisai buatan tempatan sepenuhnya oleh tim kejuruteraan DRB Hicom Defence Technology Sdn. Bhd. (Deftech) di Pekan, Pahang, reputasi tinggi diberikan.

 

Pelancaran AV4 menepati sasaran Deftech apabila melangkah setapak dalam memajukan industri pertahanan tempatan pada waktu itu.

 

Ia bukan sahaja menjadi simbol kebanggaan Deftech tetapi juga disifatkan sebagai pencapaian baharu dalam industri automotif pertahanan negara.

 

Av4
Deftech AV4 semasa menjalani ujian.

 

Pembinaan AV4 juga membuktikan kemampuan dan tahap penguasaan ilmu kejuruteraan yang tinggi oleh anak-anak tempatan di bawah inisiatif Deftech termasuk keupayaan menguji dan integrasi komponen-komponen kritikal.

 

AV4 dikatakan memenuhi kehendak Tentera Darat selain berpotensi menembusi pasaran luar negara.

 

Ini kerana ketika itu ada rancangan untuk membekalkan kenderaan perisai ringan kepada Tentera Darat bagi mewujudkan konsep ‘motorized infantry’ atau infantri berkenderaan.

 

Konsep ini memerlukan dua hingga tiga batalion dilengkapi kenderaan perisai yang mana kos operasinya lebih rendah berbanding mewujudkan batalion mekanise baharu.

 

Av4
Walaupun diberikan reputasi tinggi sejak dilancarkan namun AV4 gagal memikat pembeli.

 

Kenderaan ini telah diuji secara ekstensif oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan diuar-uarkan sebagai kenderaan perisai yang sangat sesuai bagi pihak tentera dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

PDRM pula mempunyai keperluan untuk membeli kenderaan jenis ini bagi kegunaan operasi pasukan pemerhati di Timor Leste pada waktu itu.

 

Bagaimana pun, apa yang diharapkan tidak menjadi apabila sehingga tahun 2010 tiada tempahan dibuat sama ada oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) atau Kementerian Dalam Negeri.

 

Sepanjang tempoh itu AV4 menjadi bahan pameran Deftech pada setiap penganjuran DSA.

 

Av4
Rekaan AV4 diasaskan daripada kenderaan Iguana FV4.

 

Deftech yang masih meletakkan harapan agar AV4 dapat memikat PDRM untuk menggantikan kenderaan perisai sedia ada terus hampa menyebabkan projek AV4 akhirnya berkubur.

 

Walaupun Deftech kemudian berjaya memenangi kontrak membekalkan kenderaan tempur AV8 kepada ATM, namun kegagalan AV4 memikat kerajaan Malaysia menjadi tanda tanya.

 

Sehubungan itu timbul persoalan mungkinkah perkara sama 18 tahun lalu bakal berlaku kepada Mildef International Technologies Sdn Bhd (Mildef) yang membangunkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4x4) Tarantula.

 

Tarantula dilancarkan pada April 2021 oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Sepertimana AV4, pembuatnya juga mengumumkan Tarantula sebagai kenderaan perisai pertama buatan tempatan.

 

Av4

 

Av4

 

Tarantula melalui pelbagai ujian daripada kumpulan uji nilai Tentera Darat Malaysia dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) Mindef.

 

Antaranya ujian atas jalan raya selama sembilan hari merangkumi perjalanan 700 kilometer (km) dan 300km lagi ujian panduan di laluan muka bumi sukar.

 

Tarantula dikatakan menepati spesifikasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan standard antarabangsa.

 

Ia boleh dipasang sistem persenjataan moden seperti Stesen Senjata Kawalan Jauh (RCWS) untuk membolehkannya menembak 360 darjah semasa bertempur.

 

Av4
Program penggantian Radpanzer Condor menarik minat pelbagai syarikat luar negara termasuk Turkiye.

 

Av4
Oshkosh JLTV

 

Sebagai sebuah kenderaan tempur, ia boleh melakukan pelbagai peranan mengikut pada sistem persenjataan atau kupola yang dipasang termasuk senjata antikereta kebal.

 

Menerusi liputan meluas media semasa pelancaran, banyak yang memuji kesungguhan Mildef mampu menghasilkan kenderaan pertahanan yang sama kualiti seperti dihasilkan negara luar, malah lebih hebat.

 

Malah, pihak atasan Mindef turut menyokong usaha ini demi memastikan Malaysia tidak lagi bergantung terhadap 'produk' negara luar.

 

Potensi Tarantula ketika itu adalah untuk mendapatkan kontrak menggantikan kenderaan perisai pembawa anggota (APC) Radpanzer Condor tentera pengaman Malaysia di Lebanon.

 

Sekurang-kurangnya 136 buah kenderaan jenis A 4x4 akan dibeli menerusi peruntukan RM2.049 bilion sepertimana yang diumumkan selepas Bajet 2023 dibentangkan.

 

Av4
Imbas kembali semasa majlis pelancaran Tarantula oleh Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob pada April 2021.

 

Av4

 

Pada Ogos tahun lalu sebuah laman media pertahanan global berdasarkan sumber dalaman industri memaklumkan bahawa Mildef telah dipilih oleh kerajaan untuk membekalkan 178 buah kenderaan Tarantula.

 

Disebabkan tiada pengesahan Mindef dalam hal ini, bermakna belum ada sebarang kata putus rasmi mengenainya.

 

Masuk tahun ketiga Tarantula dilancarkan, tanpa sebarang pesanan nasib kenderaan ini belum bernoktah.

 

Status sebagai kenderaan perisai buatan tempatan bukanlah penentu bahawa Tarantula layak untuk menjadi kenderaan pilihan ATM, malah AV4 telah membuktikan kebenaran tersebut.

 

Selain pesaing luar negara, fokus pada trend pembelian aset-aset pertahanan yang berubah-ubah mengikut selera pembuat keputusan turut menyumbang kepada senario yang berlaku.

 

Bukan disebabkan produk buatan tempatan tidak sempurna tetapi kurang berjaya memikat. - DagangNews.com