Ho Wah Genting dapat kelulusan MDA untuk import, bekalkan kit ujian COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Ho Wah Genting dapat kelulusan MDA untuk import, bekalkan kit ujian COVID-19

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Ho Wah Genting Berhad (HWGB) menerusi anak syarikatnya, HWGB Medical Devices & Supplies Sdn Bhd telah menerima kelulusan Akses Khas dari Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengimport dan membekalkan kit ujian COVID-19 yang dikilangkan oleh Wenzhou OJA Biotechnology Co. Ltd. di China. 

 

Dalam makluman kumpulan di Bursa Malaysia, kelulusan itu telah diterima semalam yang membenarkan HWGB Medical Devices & Supplies mengimport sehingga 1,200 unit Kit Pengesanan Antibodi Neutralisasi OJABIO SARS-CoV-2 (Kaedah Koloid Emas) atau Kit Ujian OJABIO dalam tempoh Julai hingga Oktober 2021.

 

“Ahli Lembaga Pengarah HWGB berbesar hati untuk mengumumkan bahawa anak syarikat, HWGB Medical Devices & Supplies yang sebelum ini dikenali sebagai HWG Duty Free Sdn Bhd pada 2 Ogos telah menerima pemberitahuan bertarikh 30 Julai 2021 dari MDA, KKM yang memaklumkan HWGB Medical Devices & Supplies bahawa akses khas telah diluluskan bagi pengimportan dan pembekalan Kit Ujian OJABIO yang dikilangkan oleh Wenzhou OJA Biotechnology.

 

“Tujuan penggunaan Kit Ujian OJABIO adalah untuk mengesan antibodi (penyekat virus) peneutralan SARS-CoV-2 dari pemulihan paten COVID-19 dan dari pesakit yang diberi vaksin,” jelas kumpulan.

 

Sekitar Disember tahun lalu, HWGB memaklumkan bahawa anak syarikatnya itu telah menerima surat kebenaran dari Wenzhou OJA Biotechnology untuk menjadi pengedar eksklusif produk kit ujian COVID-19 di Malaysia dan Indonesia.

 

Ini berkuatkuasa bermula 10 Disember 2020 hingga 9 Disember 2022.

 

Sementara itu, mana-mana syarikat yang ingin mengimport dan mengedarkan kit ujian kendiri COVID-19 perlu membuat permohonan melalui Permohonan Kelulusan Bersyarat dan mempunyai lesen penubuhan yang sah dikeluarkan oleh MDA.

 

Menurut laman web MDA, kit ujian kendiri COVID-19 yang telah mendapat Kelulusan Bersyarat dari pihak berkuasa itu hanya boleh dijual di farmasi komuniti berlesen atau fasiliti kesihatan yang dibenarkan sahaja. 

 

Setakat 3.14 petang, harga saham HWGB menyusut 0.05 sen kepada 24.5 sen. - DagangNews.com