Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Sept. - Honda Malaysia (Honda) memperkenalkan pilihan warna baharu dalam dua model kenderaan popularnya iaitu Civic dan BR-V baharu.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, warna baharu yang ditampilkan ialah Platinum White Pearl bagi menggantikan warna White Orchid Pearl.
"White Orchid Pearl adalah warna yang popular dalam kalangan pelanggan kami. Model Civic generasi ke-10` dan BR-V baharu masing-masing menyumbang 38% dan 25% daripada jumlah jualan.
"Semasa kami memperkenalkan warna Platinum White Pearl pada kenderaan Accord awal tahun ini, kami melihat penerimaan pasaran terhadap warna ini telah menyumbang sebanyak 33% daripada jualan model berkenaan," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Platinum White Pearl adalah warna yang pertama kali diperkenalkan dalam model kenderaan pelbagai guna (MPV), Odyssey, sedan eksekutif D-segment dan generasi ke-10 model Accord.
Penampilan warna baharu itu melengkapkan lagi penampilan dan gaya Civic serta tarikan sporty pada BR-V baharu.
Kemasan yang lebih berkilau pada warna baharu itu bukan sahaja menyerlahkan lagi penampilan kereta tersebut, malah dapat menonjolkan kekemasan bahagian luar kenderaan.
Hingga kini, kedua-dua model kenderaan tersebut menjadi penyumbang terbesar kepada keseluruhan jualan Honda Malaysia.
Tambah beliau, model Civic dengan warna baharu itu sudah berada di pasaran, sementara model BR-V baharu pula akan muncul di pasaran pada November 2020.
"Pelanggan moleh mengunjungi mana-mana 101 peniaga sah Honda di seluruh negara atau menghubungi talian bebas tol Honda 1-800-88-2020 atau www.honda.com.my untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan pilihan warna baharu tersebut," ujarnya. - DagangNews.com