Honda CR-V dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbocharged serba baharu dilancar di Malaysia, harga bermula RM159,900 | DagangNews Skip to main content

Honda CR-V dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbocharged serba baharu dilancar di Malaysia, harga bermula RM159,900

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Dis - Honda Malaysia melancarkan secara rasmi SUV model CR-V serba baharu yang ditawarkan pada harga bermula RM159,900.

 

Model generasi ke-6 itu ditawarkan dengan tiga varian iaitu V yang dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM181,900, E berharga RM169,900 dan S (RM159,900).

 

Varian tertinggi CR-V, iaitu e:HEV RS akan dilancarkan pada awal tahun hadapan dan harganya akan diumumkan tidak lama lagi.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, pelancaran model serba baharu itu sejajar dengan trend pasaran semasa dan permintaan dalam segmen SUV. 

 

"Untuk tiga suku pertama 2023, CR-V menyaksikan pertumbuhan jualan 10% tahun ke tahun berbanding tempoh sebelumnya. Selain itu, model itu telah mengekalkan kedudukan nombor satu dalam segmen SUV saiz sederhana bukan kebangsaan dalam tempoh sama. 

 

"Dengan ini model baharu, kami bukan sekadar mengorak langkah ke hadapan, kami membuat lonjakan besar dalam segmen ini. Pakej SUV komprehensif CR-V serba baharu menyumbang kepada popularitinya yang melambung tinggi, mengumpul lebih 2,000 tempahan dalam masa satu bulan sahaja," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Untuk keempat-empat varian itu, ia didatangkan dengan enjin berprestasi tinggi 1.5L VTEC Turbocharged yang mencapai kuasa maksimum 193PS dan tork maksimum 243Nm.

 

 

honda

 

 

Berfungsi bersama sistem CVT yang canggih, enjin itu menyediakan prestasi berkuasa sambil mengoptimumkan respon pecutan, penjimatan minyak dan senyap.

 

Varian V didatangkan secara eksklusif dengan 'Real Time AWD' yang mana pembahagian kuasa antara pemanduan depan dan belakang ditambah baik untuk pemanduan lebih stabil.

 

 

honda
Hironobu Yoshimura

 

 

Ia juga dipadankan dengan Transmisi Boleh Laras Berterusan Elektrik (e:CVT) dalam kerangka baharu, bagi menyediakan prestasi enjin cemerlang, penjimatan bahan api dan kesesuaian kuasa tinggi.

 

Hadir dalam bentuk luaran yang elegan bersama ruang dalaman premium dan luas, keselesaan yang tidak ditandingi dan teknologi canggih, CR-V serba baharu bakal menetapkan standard tersendiri.

 

 

honda

 

 

Selain itu, varian e:HEV RS membolehkan pemiliknya memandu dengan bergaya dengan Rim Aloi Berlina Hitam 18 inci yang meningkatkan premium model itu.

 

Beberapa ciri inovatif dan praktikal diintegrasikan  untuk menambah baik pengalaman di dalam kabin CR-V serba baharu. Dalam varian E dan ke atas, terdapat port USB-C tambahan di depan, paparan audio 9-inci bersama Apple CarPlay dan Android Auto dan pengecas tanpa wayar.

 

 

honda

 

 

Sebagai tambahan, varian V dan e:HEV RS menawarkan Lampu Kabin Ambient Berwarna. Buat pertama kali untuk Honda Malaysia, model ini dilengkapi dengan lapan beg udara termasuk dua beg udara di bahagian bawah.

 

Selain itu, Honda CONNECT juga hadir sebagai ciri standard untuk semua varian.

 

 

honda

 

 

Mengekalkan keunggulannya dalam menyediakan rangkaian komprehensif teknologi keselamatan, CR-V didatangkan dengan sistem Honda SENSING yang dinaik taraf dengan Wide-Angle Radar, Kamera dan Sensor Sonar. - DagangNews.com