KUALA LUMPUR 14 Julai - Honda Malaysia Sdn Bhd hari ini melancarkan Kenderaan Hip & Smart Runabout, Honda HR-V serba baharu.
HR-V baharu ini ternyata mendapat perhatian besar rakyat di negara ini, menarik tempahan lebih 20,000 unit sejak tempahan dibuka bulan lepas.
Ini bermakna pelanggan perlu menunggu selama 12 bulan untuk mendapatkan tempahan mereka. Asalnya, Honda Malaysia menjangka untuk menjual 1,600 unit HR-V sebulan.
"Saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa HR-V serba baharu telah menerima lebih 20,000 tempahan," kata pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Honda Malaysia Hironobu Yoshimura pada pelancaran hari ini.
“Dengan permintaan tinggi model baharu ini, kami ingin mengemas kini bahawa tempoh menunggu adalah 12 bulan, bergantung kepada ketersediaan varian terpilih.
"Bagaimanapun, yakinlah bahawa Honda Malaysia melakukan yang terbaik untuk menyampaikan kereta baharu kepada pelanggan kami yang dihormati tepat pada masanya," tambah Yoshimura.
Beliau berkata pelanjutan pengecualian cukai jualan oleh kerajaan juga telah meningkatkan jualan kereta Honda.
HR-V mencipta segmen SUV kompak serba baharu apabila pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada 2015.
Secara kumulatif, kira-kira 111,000 unit HR-V telah dijual sejak ia diperkenalkan di sini.
HR-V baharu, yang dibangunkan dengan konsep "Amp Up Your Life", telah diubah dengan menampilkan gaya yang luar biasa, rangkaian kuasa termaju dan ciri-ciri inovatif namun kekal praktikal sebagai teman harian.
Bahagian luar HR-V baharu telah menerima transformasi penuh untuk tampil bergaya dan premium berbanding pendahulunya.
Penampilan hadapan didominasi dengan reka bentuk gril hadapan baharu yang sporty manakala bahagian belakang dinaikkan lagi dengan reka bentuk berani yang terdiri daripada jalur lampu belakang LED.
HR-V baharu ditawarkan dalam empat varian daripada tiga rangkaian kuasa untuk dipilih oleh pelanggan berdasarkan gaya hidup dan pilihan mereka.
Penjana kuasa adalah hibrid 1.5 liter e:HEV, enjin 1.5 liter VTEC pengecas turbo dan enjin 1.5L DOHC i-VTEC. Harga bermula daripada RM114,800 untuk 1.5L S dan RM129,800 untuk varian 1.5T E kepada RM134,800 untuk varian 1.5TV dan RM140,800 untuk varian 1.5L e:HEV RS. - DagangNews.com