Hong Leong AM perkenal Skim Persaraan Swasta patuh syariah, langganan minimum bermula RM100 | DagangNews Skip to main content

Hong Leong AM perkenal Skim Persaraan Swasta patuh syariah, langganan minimum bermula RM100

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Feb - Hong Leong Asset Management Bhd (Hong Leong AM) memperkenalkan Skim Persaraan Swasta (PRS) Islamik yang kini boleh didapati di pejabat Hong Leong AM dan agensinya di seluruh negara.

 

Skim patuh syariah itu menandakan PRS kedua Hong Leong AM dan akan diuruskan oleh pengurus dana luar yang dilantik - Hong Leong Islamic Asset Management Sdn Bhd (Hong Leong Islamic AM).

 

PRS Islamik Hong Leong ialah skim sukarela yang bertujuan memudahkan potensi impanan untuk keperluan persaraan ahli dengan menawarkan pelbagai dana persaraan untuk dipilih oleh ahli bergantung pada keperluan persaraan, risiko dan umur mereka.

 

Menurut Hong Leong AM, terdapat tiga dana teras di bawah PRS–Islamik Hong Leong iaitu Dana Pertumbuhan, Dana Sederhana dan Dana Konservatif PRS Islamik Hong Leong.

 

"Pengurus Dana akan melabur dalam sekumpulan skim pelaburan Islam yang terdiri daripada ekuiti patuh syariah, skim pelaburan kolektif Islam berkaitan ekuiti patuh syariah, skim pelaburan kolektif pasaran wang Islam, sukuk dan/atau skim pelaburan kolektif Islam seimbang.

 

"Jumlah langganan permulaan minimum PRS-Islamik Hong Leong ialah RM100 manakala jumlah langganan tambahan minimum ialah RM50. Sah sehingga 2025, ahli PRS yang melabur dalam PRS layak menuntut pelepasan cukai untuk jumlah pelaburan PRS sehingga RM3,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kata syarikat itu, Hong Leong AM sentiasa fokus dan komited dalam membantu pelabur memanfaatkan sepenuhnya persaraan mereka dengan menyediakan dana berkualiti dan perkhidmatan pengurusan dana profesional.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Skim pencen ditiadakan: Ini antara langkah anda boleh lakukan

 

hl am
Laporan menunjukkan kebanyakan pesara menggunakan sepenuhnya simpanan skim mandatori mereka dalam tempoh 5 tahun selepas bersara./Gambar hiasan

 

"Oleh itu dengan pengenalan PRS kedua ini, Hong Leong AM berbesar hati menawarkan pilihan baharu untuk dipertimbangkan oleh pelabur apabila meneroka peluang tambahan untuk menambah simpanan skim wajib mereka.

 

"Selain itu, tempoh penguncian PRS amat bermanfaat dalam membantu pelabur yang berazam untuk mengembangkan simpanan mereka kekal berdisiplin dan melabur untuk jangka masa panjang," jelasnya.

 

Kata Hong Leong AM, bagi pelabur muda, ini adalah kelebihan tambahan yang mana mereka akan memperoleh faedah selama bertahun-tahun.

 

"Diunjurkan menjelang 2056, lebih 20% penduduk di Malaysia akan berumur 65 tahun ke atas, mencerminkan realiti bahawa kita adalah sebuah negara yang mempunyai jangka hayat yang tinggi.

 

"Fenomena ini akan membawa satu set cabaran baharu dalam bidang seperti pekerjaan, penjagaan warga emas dan jaminan pendapatan dan dengan kos sara hidup yang terus meningkat, laporan telah menunjukkan bahawa kebanyakan pesara menggunakan sepenuhnya simpanan skim mandatori mereka dalam tempoh 5 tahun selepas bersara," ujarnya.- DagangNews.com